
HULL – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menyuarakan rasa kecewa dan terkejut atas kekalahan 0-2 kepada pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Hull City di Stadium MKM malam kelmarin.
Walaupun mendominasi perlawanan dengan 72 peratus penguasaan bola selain melakukan 20 percubaan ke arah pintu gol, namun The Red Devils tetap pulang hampa apabila gagal melakukan sebarang jaringan.
Sebaliknya, pintu gol United pula ditembusi sebanyak dua kali oleh tuan rumah menerusi jaringan Semi Ajayi dan Nobel Mendy dengan kedua-dua gol berkenaan terhasil daripada situasi bola mati.
“Corak permainan masih okey, tetapi ada aspek yang perlu diperbaiki. Memang permainan tidak sentiasa sempurna, namun kami juga menjadi punca mengapa pasukan terpaksa berdepan situasi sukar seperti ini.
“Saya tidak mahu sebut mana-mana posisi yang perlu diperbaiki kerana kami akan meneliti perkara itu ketika sesi latihan. Kami perlu jadikan kekalahan ini sebagai pengajaran dan belajar sesuatu,” katanya.
Sebagai rekod, kemenangan itu boleh dianggap detik bersejarah buat Hull memandangkan ia merupakan kemenangan pertama mereka ke atas United sejak kali terakhir melakukannya pada 1974.
“Melepaskan dua gol sangat mengecewakan kerana kami bermain baik sepanjang perlawanan hari ini (kelmarin). Sudah pasti ia (situasi bola mati) merupakan salah satu aspek yang perlu diberikan perhatian,” ujar Carrick. – AGENSI
The post EPL: United mula aksi ‘langkah kiri’ appeared first on Kosmo Digital.



