
MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Enzo Maresca masih belum berpuas hati dengan prestasi dipamerkan para pemainnya ketika pasukan itu mengekalkan permulaan sempurna mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Pada aksi menentang Sunderland di Etihad, lapan gol terhasil ketika The Citizens berdepan cemas sebelum berjaya mencatat kemenangan 5-3 untuk mengekalkan rekod bersih lima kemenangan.
Walaupun berjaya mencipta jurang tiga mata di puncak carta, pengendali dari Itali itu mengkritik kelemahan pertahanan pasukannya ketika berdepan Sunderland yang memberikan tentangan hebat.
“Terlalu banyak gol. Sejujurnya, saya lebih suka menang 1-0 berbanding 5-3, tetapi saya menjangkakan perlawanan yang sangat sukar. Saya tahu betapa bagusnya mereka.
“Ketika tanpa bola, mereka sangat agresif, manakala ketika menguasai bola mereka mempunyai banyak ‘senjata’, Brian Brobbey adalah salah satu contohnya. Tetapi, kami berjaya mencari jalan untuk memenangi perlawanan ini,” jelasnya.
Hatrik yang dihasilkan oleh penggempur Sunderland, Brian Brobbey mendedahkan kelemahan besar di barisan pertahanan City.
Situasi itu menyebabkan Maresca mengkritik gol-gol yang dianggapnya mudah diberikan kepada lawan dengan menyebut kelemahan ketika situasi bola mati.
“Dua daripada tiga gol yang kami bolos terlalu mudah, gol kedua datang daripada sepakan percuma pantas (Granit) Xhaka dan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Gol ketiga pula datang daripada satu lagi sepakan percuma.
“Terlalu mudah. Kami memberikan lebih banyak peluang, tetapi kami juga menjaringkan lima gol dan mungkin boleh menjaringkan dua atau tiga lagi,” jelas pengurus itu. – AGENSI
The post EPL: Maresca tidak gembira biarpun menang appeared first on Kosmo Online.



