
LONDON – Pengendali Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi perlawanan derbi Manchester, Matt Donohue dan pembantunya, Blake Antrobus digugurkan daripada tugas mengendalikan perlawanan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu ini.
Keputusan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Pengadilan Pro Ref, Howard Webb bersama pasukan pengurusan badan tersebut.
Ia susulan pengakuan Pro Ref bahawa berlaku kesilapan dalam membuat keputusan ketika memberikan gol kemenangan Erling Haaland untuk Manchester City ketika menentang Manchester United pada Ahad.
Penyerang itu menjaringkan gol pada minit ke-60 di Old Trafford apabila dia hantaran lintang Josko Gvardiol.
Jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid oleh pengadil di atas padang, namun selepas campur tangan VAR, gol tersebut diberikan kerana pemain Norway itu dianggap berada dalam kedudukan tidak ofsaid.
Bagaimanapun, timbul perdebatan sama ada gol itu sepatutnya dibatalkan kerana pemain tengah City, Enzo Fernandez berada dalam kedudukan ofsaid dan dianggap mengganggu permainan ketika dia cuba menanduk bola di bahagian tengah sebelum Haaland menyudahkannya.
“Telah dipastikan bahawa Enzo Fernandez tidak menyentuh bola dan oleh itu, sama ada berlaku kesalahan ofsaid adalah sesuatu yang bersifat subjektif.
“Namun, dalam keadaan ini, VAR gagal mengenal pasti kemungkinan kesan kedudukannya terhadap permainan dan sepatutnya mengesyorkan supaya pengadil di atas padang membuat semakan,” menurut Pro Ref dalam satu kenyataan. – AGENSI
The post EPL: Pegawai VAR digantung tugas appeared first on Kosmo Online.

