
MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford bakal menikmati kenaikan gaji sehingga £4 juta (RM22.04 juta) sekiranya dia kekal berada di Old Trafford walaupun langsung tidak diberikan minit permainan musim ini.
Situasi itu gara-gara kejayaan United melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara (UCL), sekali gus mengaktifkan klausa kenaikan gaji yang dimiliki Rashford, Mason Mount dan Andre Onana.
Walaupun United sudah memperkenalkan sistem kenaikan gaji yang memerlukan pemain beraksi 60 peratus daripada minit permainan pasukan dalam mana-mana kempen, namun Rashford, Mount dan Onana tertakluk kepada perjanjian lama.
Bagaimanapun, The Red Devils tidak perlu bimbang mengenai bayaran untuk Onana memandangkan gaji pemain Cameroon itu akan dibiayai sepenuhnya oleh kelab Turki, Trabzonspor yang mendapatkan khidmatnya secara pinjaman.
Setakat ini, Rashford yang baru sahaja kembali daripada pinjaman semusim dari Barcelona menerima gaji tahunan berjumlah £16 juta (RM88.16 juta) di United dan dia akan menikmati bonus tambahan £4 juta.
Sementara itu, Mount pula difahamkan akan menerima bayaran tambahan £1 juta (RM5.51 juta), sekali gus menyebabkan United mula ‘pening kepala’ untuk mengawal perbelanjaan bagi menghadapi saingan musim baharu.
United dikatakan sudah cuba menawarkan Rashford dan Onana kepada mana-mana kelab secara perpindahan tetap, namun tidak ramai yang berminat ekoran gaji yang mahal selain bonus tambahan dalam kontrak mereka. – AGENSI
The post EPL: Rashford dijangka raih ‘durian runtuh’ appeared first on Kosmo Digital.

