
BIRMINGHAM – Kegagalan untuk memanfaatkan peluang terhidang menjadi faktor kekalahan ketika Manchester City tewas 1-2 kepada Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park malam kelmarin.
Dua gol menerusi jaringan Nicolas Jackson meranapkan hasrat City untuk mengekalkan aksi tanpa kalah walaupun pasukan pelawat itu merapatkan kedudukan hasil gol yang dijaringkan Erling Haaland.
Pengurus The Citizens, Enzo Maresca berkata, skuad kendaliannya sepatutnya mampu untuk membawa pulang tiga mata sekiranya mereka mempamerkan penyudah lebih tajam ketika berada di depan gawang lawan.
“Saya fikir kami layak untuk mendapat lebih daripada keputusan hari ini (kelmarin) jika dilihat pada jumlah peluang yang dicipta. Sekarang kami perlu bergerak ke depan dan buat analisis.
“Kalau anda semua tengok, kami lebih banyak memasuki kotak penalti mereka dan kami sepatutnya lebih tajam ketika melakukan percubaan. Kami tewas kerana tidak begitu tajam di depan gol,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berharap pemain-pemainnya akan lebih fokus pada perlawanan akan datang kerana menganggap kelekaan turut menjadi punca Villa mudah untuk menyerang kubu pertahanan mereka.
“Kami perlu mencari keseimbangan dalam permainan. Kami sedar bukan mudah untuk tidak bolos setiap kali datang ke sini, tetapi apa yang pasti adalah gol mereka terjadi kerana kesilapan sendiri,” ujar Maresca. – AGENSI
The post EPL: Rekod kebal City berkecai appeared first on Kosmo Online.






