
MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menjangkakan beliau akan kekal mengendalikan pasukan itu meskipun kelab berkenaan kini terperosok di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 4-4 dengan Aston Villa, awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan United berada di tangga ke-18, satu mata di belakang zon selamat, selain memanjangkan rekod tanpa kemenangan liga kepada lapan perlawanan, iaitu rekod terburuk kelab dalam era EPL.
Kedudukan di tangga ke-18 itu juga menjadi pencapaian terendah United selepas mengharungi 10 perlawanan liga sejak musim 1986/87, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Carrick menjelang rehat antarabangsa November.
“Saya fikir kami mempunyai lebih daripada cukup kemampuan. Gol boleh mengubah perlawanan dan kami perlu mengatasinya, selain memperbaiki kelemahan. Namun, kami sendiri menjadikan keadaan lebih sukar pada masa ini,” katanya.
Carrick turut menyifatkan kesilapan mudah yang membolehkan lawan menjaringkan gol sebagai punca utama United gagal meraih kemenangan, meskipun berasakan pasukannya menguasai sebahagian besar permainan.
“Bola sepak ditentukan oleh detik penting, terutama apa yang berlaku di kedua-dua kotak penalti. Jika tanpa kesilapan tersebut, saya fikir kami bermain dengan baik dan menjadi pasukan lebih baik untuk sebahagian besar perlawanan,” katanya.
Pengendali itu turut menegaskan pertukaran pengurus bukan penyelesaian kepada masalah United, selepas kelab berkenaan melalui lapan pengendali dalam tempoh 12 tahun tanpa kembali mencapai kestabilan yang diharapkan.
United kini perlu menggunakan tempoh rehat antarabangsa untuk memperbaiki prestasi sebelum kembali memburu kemenangan bagi keluar daripada zon penyingkiran, manakala kedudukan Carrick terus menjadi perhatian susulan rekod tanpa kemenangan yang semakin panjang. – AGENSI
The post EPL: United kembali lalui episod 40 tahun lalu appeared first on Kosmo Online.


