Equinix lengkapkan fasa kedua pusat data KL1, sokong pertumbuhan digital Malaysia dan rantau ASEAN

07/05/2025 - 16:14
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 7 Mei – Equinix Inc menyiapkan fasa kedua pusat data KL1 International Business Exchange (IBX) di Kuala Lumpur, untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dan rantau ASEAN.
Fasa terbaharu itu menambah 450 kabinet lagi di KL1 untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital di seluruh negara.
Sejak memulakan operasinya pada 2024, Equinix telah menarik pelanggan antarabangsa dan tempatan dari sektor perkhidmatan awan dan IT, kandungan digital, perusahaan, dan penyedia rangkaian.
Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Tat Inn berkata, kejayaan menyiapkan pengembangan KL1 pada tahun pertama operasi menunjukkan komitmen tinggi syarikat terhadap pasaran tempatan.
"Sejak tahun lalu, momentum kami semakin positif dengan kedua-dua pusat data di Kuala Lumpur dan Johor terus menarik perhatian syarikat tempatan dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Equinix kini mempunyai kehadiran yang kukuh di Singapura dan Johor, dan sedang memperluas operasinya ke Indonesia, Filipina, dan Thailand.
Langkah strategik itu memudahkan syarikat-syarikat ASEAN untuk berhubung dan bertukar data dengan lebih cekap, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan digital dan keterhubungan antara negara.
Syarikat itu menghubungkan pusat datanya di Malaysia (KL1 dan JH1) dengan kampus di Singapura melalui "Equinix Fabric", mencipta ekosistem digital rentas sempadan yang menghubungkan lebih 1,000 syarikat dari sektor perkhidmatan awan, rangkaian, IT, dan kewangan.
Equinix berkata, pelaburan mereka di Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur bertaraf tinggi, mampan, dan fleksibel yang membolehkan perniagaan berkembang dalam persekitaran digital yang kompetitif dan saling terhubung secara global.

Rantau ASEAN kini menjadi antara destinasi pelaburan asing (FDI) yang paling pesat berkembang, dengan jumlah pelaburan AS$226 bilion (RM976.7 bilion) pada 2023 dan dijangka mencecah AS$300 bilion (RM1.29 trilion) setahun menjelang 2030.
Eksport ASEAN dijangka berkembang pada kadar tahunan 6.7% hingga 2030, melebihi purata global 5%, didorong oleh kekuatan rantaian bekalan dan kedudukan strategik serantau yang menghubungkan dagangan Timur dan Barat.
Equinix akan mengembangkan operasinya ke Indonesia, Filipina, dan Thailand untuk memudahkan pertukaran perniagaan antara syarikat-syarikat serta aplikasi yang memerlukan masa pemprosesan yang cepat di seluruh ASEAN.- DagangNews.com
standard

