Era Dr Samsuri bermula: Ke mana arah baharu PN?

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 9:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Ahmad Samsuri. Gambar kecil: Dr. Nur Ayuni Mohd Isa

MESYUARAT Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) kali pertama bagi tahun 2026 yang diadakan pada 14 Mac di Ibu Pejabat Parti Gerakan di Cheras merupakan satu detik penting dalam perkembangan politik gabungan tersebut.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi baharu PN, Datuk Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bukan sahaja menandakan permulaan era kepimpinan baharu dalam PN, malah memberi gambaran tentang strategi politik dan hala tuju gabungan itu menjelang fasa politik yang semakin mencabar.

Mesyuarat ini mempunyai makna simbolik yang besar kerana ia merupakan mesyuarat pertama Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan oleh Dr Samsuri selepas beliau mengambil alih kepimpinan gabungan tersebut.

Pelantikan beliau sebagai Pengerusi PN sebelum ini dilihat sebagai langkah strategik bagi menyegarkan kepimpinan gabungan pembangkang itu selepas era kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam konteks politik Malaysia yang sering dicorakkan oleh persaingan dalaman dan cabaran kestabilan gabungan, mesyuarat ini memberi isyarat bahawa PN berada dalam keadaan stabil serta mampu melakukan peralihan kepimpinan secara tersusun.

Keputusan untuk meneruskan struktur kepimpinan yang inklusif dengan melibatkan semua parti komponen memperlihatkan usaha Dr. Samsuri untuk memastikan keseimbangan antara kepentingan parti-parti dalam gabungan tersebut.

Pendekatan kepimpinan Dr. Samsuri juga dilihat menonjolkan gaya yang lebih sederhana dan matang. Berbeza dengan retorik politik yang kadangkala keras dalam politik Malaysia, beliau dilihat mengutamakan pendekatan yang lebih tenang dan bersifat penyatuan.

Penstrukturan organisasi sebagai asas pengukuhan gabungan

Salah satu keputusan penting mesyuarat ini ialah pelantikan pegawai-pegawai utama PN. Struktur organisasi yang diumumkan menunjukkan usaha untuk membina kepimpinan yang lebih tersusun dengan pengagihan peranan berdasarkan pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh yang dilantik.

Selain Dr. Samsuri sebagai Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama Datuk Dr. Dominic Lau, Tuan Punithan Paramsiven dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pelantikan ini memperlihatkan usaha mengekalkan keseimbangan antara parti-parti komponen dalam gabungan.

Jawatan Setiausaha Agung pula diberikan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, seorang tokoh yang berpengalaman dalam pengurusan parti dan Parlimen.

Beliau dibantu oleh tiga Timbalan Setiausaha Agung iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Wong Chia Zhen dan Datuk Sivakumar Krishnan di mana lantikan ini mencerminkan usaha untuk memastikan penyertaan pelbagai latar belakang dalam pentadbiran PN.

Penangguhan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri sehingga selepas lawatan kerja Pengerusi PN ke semua negeri pula menunjukkan pendekatan yang berhati-hati dan strategik. Langkah ini membolehkan kepimpinan pusat menilai keadaan organisasi di peringkat negeri sebelum membuat keputusan yang lebih tepat.

Menggabungkan pengalaman dalam komunikasi politik dan strategi pilihan raya

Dua lantikan yang menarik perhatian dalam struktur baharu PN ialah Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan dan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.

Pelantikan Annuar dilihat sebagai langkah strategik kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam komunikasi politik serta pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan dan parti, termasuk sebagai Mentri dan Setiausaha Agung UMNO.

Dalam politik moden yang sangat dipengaruhi oleh persepsi awam dan naratif media, keupayaan menyampaikan mesej secara berkesan merupakan satu aset penting.

Dengan pengalaman beliau dalam menjelaskan isu-isu dasar kepada rakyat serta mengurus komunikasi politik yang kompleks, Annuar dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan naratif PN sebagai gabungan pembangkang utama negara.

Sementara itu, lantikan Dr. Radzi yang bebas kontroversi pula mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan beliau dalam merancang strategi pilihan raya.

Pengalaman beliau sebagai bekas Menteri Kanan Pendidikan, kedudukan beliau sebagai Naib Presiden Bersatu dan penglibatan aktif beliau dalam jentera pilihan raya Bersatu sebelum ini menjadikan beliau seorang tokoh yang sesuai dalam merangka strategi politik PN.

Peranan ini akan menjadi semakin penting memandangkan PN sedang membuat persiapan menghadapi beberapa pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Isu ketua pembangkang dan dinamika Parlimen

Satu lagi keputusan penting mesyuarat tersebut ialah penetapan bahawa jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen dari Pas.

Walaupun nama individu tersebut masih belum diumumkan, keputusan ini mencerminkan keseimbangan kuasa dalam gabungan PN.

Pas kini merupakan parti yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam PN, justeru keputusan tersebut dilihat sebagai langkah logik dari sudut politik dalaman gabungan.

Pengumuman rasmi dijangka dibuat sebelum akhir bulan Mac 2026.

Peranan Ketua Pembangkang amat penting dalam sistem demokrasi kerana individu tersebut bertanggungjawab memimpin blok pembangkang dalam mengimbangi kuasa kerajaan serta mengemukakan alternatif dasar kepada rakyat.

Pengambilalihan jawatan ini dari Datuk Seri Hamzah Zainuddin mantan Timbalan Presiden Bersatu yang sebelum ini dipecat dari parti itu dijangka akan lebih menstabilkan hubungan antara Pas dan Bersatu yang sebelum ini agak terjejas.

Rakyat kekal menjadi keutamaan

Walaupun mesyuarat ini memberi tumpuan kepada penstrukturan organisasi dan persediaan politik, kepimpinan PN menegaskan bahawa perjuangan gabungan tersebut tetap berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup yang terus menjadi isu utama, PN berusaha menampilkan dirinya sebagai gabungan politik yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

Naratif ini penting bagi memastikan PN tidak dilihat semata-mata sebagai gabungan politik yang tertumpu kepada perebutan kuasa, tetapi sebagai blok politik yang mempunyai agenda dasar untuk menangani cabaran yang dihadapi rakyat.

Era baharu PN bermula

Kesimpulannya, keputusan yang diambil dalam mesyuarat ini menunjukkan usaha untuk memperkukuh organisasi gabungan, menggabungkan pengalaman kepimpinan sedia ada serta mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi cabaran politik yang akan datang.

Pendekatan kepimpinan yang lebih sederhana dan inklusif yang ditampilkan oleh Dr Samsuri berpotensi memberi imej baharu kepada PN sebagai gabungan politik yang stabil dan tersusun.

Namun, kejayaan kepimpinan beliau pada akhirnya akan bergantung kepada keupayaan PN untuk mengekalkan kesatuan dalaman serta menawarkan agenda politik yang relevan kepada rakyat.

Jika usaha penstrukturan organisasi ini berjaya diterjemahkan kepada gerak kerja politik yang berkesan, PN berpotensi muncul sebagai blok pembangkang yang lebih mantap dalam landskap politik Malaysia pada tahun-tahun mendatang.

* Dr. Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dan kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London. Beliau juga ialah Felo The Future Research.