PN umum barisan kepimpinan baharu 2026

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PN umum barisan kepimpinan baharu 2026
Ahmad Samsuri (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bil. 1/2026 yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Cheras pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Teka-teki mengenai hala tuju kepimpinan baharu Perikatan Nasional (PN) akhirnya terjawab apabila gabungan itu mengumumkan barisan lantikan Pegawai-Pegawai Parti bagi sesi 2026, pada Sabtu.

​Menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bil 1/2026 yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Cheras, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa rombakan itu dibuat selaras dengan Fasal 8.2 dan Fasal 8.3 Perlembagaan Parti.

​Ahmad Samsuri dalam kenyataan media memaklumkan, mesyuarat tersebut dihadiri oleh kesemua kepimpinan tertinggi daripada parti anggota iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

​Berdasarkan senarai lantikan terbaharu, beliau kekal menerajui gabungan itu sebagai Pengerusi, manakala jawatan Timbalan Pengerusi kini diisi oleh empat tokoh utama iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, P Punithan dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

​Jawatan Setiausaha Agung PN pula kini diamanahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang akan dibantu oleh tiga Timbalan Setiausaha Agung iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Wong Chia Zhen dan Datuk Sivakumar Krishnan.

​​Satu perkembangan menarik yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah mengenai pengisian jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia.

​Menurut beliau, PN memutuskan jawatan penting tersebut akan dipegang oleh Ahli Parlimen daripada Pas, namun identiti individu berkenaan hanya akan didedahkan sebelum penghujung Mac ini.

​"Mesyuarat memutuskan jawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen dari Pas, namun namanya akan diumumkan sebelum akhir bulan Mac 2026," katanya.

​Dalam pada itu, lantikan bagi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN di seluruh negara terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

​Jelas Ahmad Samsuri, keputusan itu hanya akan dibuat pada mesyuarat akan datang selepas beliau selesai mengadakan siri lawatan kerja ke semua negeri selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

​Selain penstrukturan organisasi, Majlis Tertinggi PN turut memberikan tumpuan serius terhadap gerak kerja pilihan raya.

​Gabungan itu dilaporkan mula mengatur strategi dan membincangkan persediaan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

​Bagi memperkukuh jentera, Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan PN yang baharu manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.

​Jawatan Bendahari Agung pula di bawah seliaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi mengisi kekosongan menggantikan Ahmad Samsuri yang melepaskan jawatan itu tahun lalu.

​Lantikan lain turut melibatkan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi sebagai Ketua Wanita PN, Afnan Hamimi Taib Azamuddeen sebagai Ketua Pemuda PN dan Zaidy Abdul Talib sebagai Pegawai Awam.

View Original Article