
KUALA LUMPUR, 16 Julai 2026 – eRacing GP terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara platform sim racing utama di rantau ini apabila mengumumkan penganjuran 12 Hours of Spa, sebuah perlumbaan endurance khas yang bakal berlangsung pada 18 Julai di litar legenda Circuit de Spa-Francorchamps.
Acara yang dijangka menjadi antara kemuncak kalendar eRacing GP itu menghimpunkan lebih 30 pasukan dari sekurang-kurangnya lima negara, dengan para peserta bakal berdepan cabaran perlumbaan selama 12 jam tanpa henti yang menuntut strategi terbaik, pertukaran pemandu yang lancar serta pengurusan tayar dan bahan api yang cekap.
Litar Spa-Francorchamps yang terkenal dengan selekoh ikonik seperti Eau Rouge, Raidillon dan Blanchimont bakal menguji kemampuan setiap pasukan dalam menghadapi perubahan keadaan litar sepanjang perlumbaan.



Perlumbaan ini mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Hypercars (GTP), LMP2 dan GT3. Bagi kelas Hypercars, pasukan boleh memilih jentera seperti BMW M Hybrid V8, Cadillac V-Series.R GTP, Ferrari 499P atau Porsche 963 GTP, manakala kelas LMP2 menggunakan Dallara P217. Kategori GT3 pula menawarkan enam pilihan jentera termasuk BMW M4 GT3 EVO, Ferrari 296 GT3, McLaren 720S GT3 EVO dan Porsche 911 GT3 R (992).
Menurut Pengasas eRacing GP, Alex Yoong, perlumbaan endurance merupakan antara cabaran paling lengkap dalam dunia permotoran kerana kejayaan tidak hanya bergantung kepada kelajuan semata-mata.
“Perlumbaan endurance mewakili cabaran sebenar dalam sukan permotoran. Acara seperti ini memberi ganjaran kepada pasukan yang mempunyai persediaan rapi, kerjasama mantap dan daya tahan tinggi, selain membuka peluang kepada pelumba sim racing bersaing dengan antara yang terbaik di Asia.”


Penganjuran 12 Hours of Spa turut mendapat sokongan Royal Selangor, jenama terkenal dunia dalam penghasilan produk piuter premium. Selain mata kejuaraan, para pemenang juga akan membawa pulang trofi eksklusif Royal Selangor yang dihasilkan khas bagi memperingati kejayaan dalam perlumbaan endurance berprestij ini.
Antara nama yang bakal menjadi tumpuan ialah pelumba sim racing nombor satu Singapura Aleef Hamilton yang bergandingan bersama Alister Yoong dari Malaysia. Mereka akan dicabar oleh juara bertahan Apex Racing Brunei, selain pasukan Thailand OVERME.team yang diketuai Thanprasit Sartsuk. Malaysia turut diwakili oleh Pepega Racing yang mempertaruhkan tiga pasukan termasuk bekas pelumba Toyota GAZOO Racing Rookies, Justin Rahul Dev dan Genevieve Ooi, satu-satunya pelumba wanita dalam senarai perlumbaan.
Perlumbaan 12 Hours of Spa akan bermula pada jam 11.00 pagi, 18 Julai, dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial rasmi eRacing GP. Acara ini turut menjadi sebahagian daripada misi eRacing GP dalam memperluaskan pembangunan sukan permotoran maya bertaraf antarabangsa serta merapatkan hubungan antara komuniti sim racing dan dunia perlumbaan sebenar.
The post eRacing GP Lancar Perlumbaan Endurance 12 Hours of Spa, Himpunkan Lebih 30 Pasukan Sim Racing Asia appeared first on TW Media.





