Viper Niza Racing Raih Podium Keseluruhan Pertama Di Michelin 12H Nürburgring

6 Jul 2026 • 4:09 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Viper Niza Racing Raih Podium Keseluruhan Pertama Di Michelin 12H Nürburgring

Pasukan Malaysia, Viper Niza Racing, mencipta sejarah tersendiri apabila meraih podium keseluruhan pertama dalam saingan Michelin 24H Series selepas menamatkan perlumbaan 12 Hours of Nürburgring di tempat ketiga keseluruhan GT3, sekali gus muncul naib juara kategori GT3-AM.

Keputusan tersebut merupakan pencapaian terbaik pasukan itu sejak menyertai Michelin 24H Series musim lalu, hasil gandingan Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh yang mempamerkan perlumbaan penuh disiplin serta strategi pit yang tepat sepanjang 12 jam aksi di Nürburgring Grand Prix Circuit.

Viper Niza Racing turut berada dalam kedudukan terbaik untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua keseluruhan selepas Dominic Ang mengemudi jentera Mercedes-AMG GT3 EVO #65 di posisi kedua hampir dua jam sebelum penamat.

Dengan hanya berbaki 22 minit, pasukan membuat keputusan strategik untuk memanggil Ang masuk ke pit bagi mengisi minyak dan menukar tayar baharu. Keputusan itu pada mulanya dilihat mampu memberi kelebihan apabila beberapa pencabar utama turut dijangka perlu melakukan hentian terakhir.

Namun, pelumba Up2Race Porsche, F. Grosse, mengambil risiko hanya mengisi minyak tanpa menukar tayar, membolehkannya kembali ke litar hanya beberapa meter di hadapan Ang. Dalam baki 11 minit terakhir, kedua-dua pelumba beraksi sengit dengan Ang menggunakan kelebihan tayar baharu untuk memberi tekanan, namun Grosse berjaya mempertahankan kedudukannya sehingga garisan penamat.

Viper Niza Racing menamatkan perlumbaan hanya 0.4 saat di belakang Porsche tersebut, sekali gus memastikan tempat ketiga keseluruhan dan tempat kedua dalam kelas GT3-AM. Pasukan Malaysia itu turut menamatkan perlumbaan hanya satu pusingan di belakang pemenang keseluruhan, GetSpeed Team JR286.

Ketua Pasukan merangkap pelumba, Douglas Khoo, menyifatkan keputusan itu sebagai pencapaian terbesar pasukan setakat ini.

“Ini adalah podium keseluruhan pertama kami dalam Michelin 24H Series dan sudah tentu satu pencapaian yang sangat membanggakan. Tempat kedua sebenarnya berada dalam jangkauan, namun strategi yang dirancang sepanjang hujung minggu berjaya memastikan kami kekal kompetitif dan mengelakkan sebarang masalah. Kami berharap momentum ini dapat diteruskan pada perlumbaan terakhir musim ini di Barcelona.”

Perlumbaan sulung 12 Hours of Nürburgring turut dipengaruhi beberapa insiden termasuk keadaan Code 60, hujan berselang-seli serta kemalangan beberapa pencabar utama. Viper Niza Racing berjaya memanfaatkan strategi bahan api ketika bendera merah dikibarkan pada hari pertama, sekali gus melonjak ke kelompok hadapan sebelum mengekalkan rentak konsisten sehingga tamat perlumbaan.

Hasil keputusan itu, Viper Niza Racing kini mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga keseluruhan carta GT3-AM dengan kutipan 116 mata, hanya lapan mata di belakang Hofor Racing dan 14 mata di belakang pendahulu GetSpeed Team JR286. Pasukan itu turut berada di kedudukan keenam keseluruhan kategori GT3 dengan 76 mata.

Saingan Michelin 24H Series musim 2026 kini akan beralih ke perlumbaan penutup, 24 Hours of Barcelona, yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 20 September.

The post Viper Niza Racing Raih Podium Keseluruhan Pertama Di Michelin 12H Nürburgring appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved