
KUALA LUMPUR – Primadona filem alaf baharu, Erra Fazira, 51, menamatkan status ibu tunggalnya hari ini selepas selamat bergelar isteri kepada pilihan hati, Ezwan Zain, 44, dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung tenang dan penuh emosi di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang.
Majlis dimulakan sekitar 9.19 pagi dengan sekali lafaz yang disempurnakan Ezwan, disaksikan keluarga serta rakan terdekat. Pernikahan pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan JAIS, Mohd Sabirin Noordin.
Erra menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram sebagai mas kahwin, selain cincin Cartier pada sesi pembatalan air sembahyang. Hantaran pula dihimpunkan dalam satu talam yang menampilkan sepersalinan emas, simbolik penyatuan dua jiwa yang lama dinantikan.
Air Mata Syukur & Restu Anak-Anak
Air mata Erra turut menjadi saksi momen penuh makna itu, apatah lagi selepas 11 tahun memikul peranan sebagai ibu tunggal.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti dirancang. Syukur… doakan rumah tangga kami,” ujar beliau dengan nada sebak.
Turut hadir memberi restu ialah anak Erra, Engku Aleesya, serta anak perempuan Ezwan, Sofia, yang setia menemani bapanya memasuki fasa baharu kehidupan.
Mengangkat tema putih dengan konsep garden kontemporari, ruang majlis diserikan hamparan bebunga putih yang mewujudkan suasana intim dan elegan untuk persandingan pasangan itu.
Sebelum ini, Erra sudah memberi bayangan mengenai pernikahan yang bakal berlangsung tahun ini ketika pelancaran video muzik Cinta Abadi 2025, menghentikan segala spekulasi yang berlegar di media hiburan. – The Malaysian Update
The post Erra Fazira Sah Bergelar Isteri Ezwan Zain — Majlis Penuh Syahdu di Rinjani Majestic appeared first on The Malaysian Update.

