Erra Kembali Bergelar Isteri, Engku Aleesya & Anak Mr E Iringi Ke Pelamin

EntertainmentLifestyle
12 Dec 2025 • 1:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Dengan sekali lafaz, primadona Erra Fazira sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Ezwan Zain, selepas selamat diijab kabul tepat jam 9.20 pagi hari ini.

Majlis akad nikah yang berlangsung di Kampung Melayu Subang itu dihadiri kira-kira 300 tetamu, terdiri daripada ahli keluarga terdekat serta rakan rapat pasangan berkenaan.

Sebagai mas kahwin, Erra, 51, menerima sepokok bunga emas seberat 102 gram, simbolik penyatuan dua jiwa tersebut. 

Selain itu, pihak lelaki turut menyerahkan sepersalinan barangan emas, tas tangan, jam tangan dan sepasang kasut sebagai hantaran perkahwinan.

Merpati dua sejoli tersebut dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.

Pasangan sama cantik sama padan itu tampil bergaya dalam persalinan biru lembut rekaan pereka terkenal Rizman Ruzaini, menyerikan lagi detik bersejarah berkenaan.

Difahamkan, majlis resepsi untuk ahli keluarga kedua belah pihak akan diadakan esok, manakala majlis khusus buat rakan-rakan mempelai bakal berlangsung 27 Disember nanti.

Terdahulu, Erra membuat pengumuman rasmi mengenai majlis perkahwinannya pada 2 Disember lalu, serentak dengan pelancaran muzik video lagu Cinta Abadi 2025. - Getaran, 12 Disember 2025