
KUALA LUMPUR: ESD Global Sdn. Bhd. (ESD Global) terus memperluas perniagaan ke luar Malaysia selepas lima tahun membangunkan segmen kecantikan, penjagaan diri dan gaya hidup, dengan Indonesia kini antara pasaran operasinya.
Pengurus Pemasaran ESD Global, Nurul Hidayah berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2021 itu bukan sahaja memasarkan produk sedia ada di Indonesia, malah telah mempunyai ibu pejabat (HQ) di negara berkenaan.
“Untuk produk seperti Haruman Putih, kita bukan sekadar menjual di Indonesia, tetapi memang sudah ada HQ di sana.
“Pengembangan ke Indonesia menjadi antara perkembangan penting syarikat selepas membina rangkaian produk serta sistem pengedaran menerusi stokis dan ejen di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu Anggun Singset Koffee syarikat itu.
Menurutnya, ESD Global kini turut mengkaji peluang untuk membawa produk baharu berkenaan ke pasaran luar negara, termasuk Brunei dan Singapura.
“Proses itu masih di peringkat kajian kerana syarikat perlu mengambil kira prosedur serta keperluan kawal selia yang berbeza bagi setiap negara.
“Kita sedang meninjau negara mana yang sesuai kerana setiap negara mempunyai prosedur masing-masing. Pihak kilang juga membantu kita melihat proses yang diperlukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Hidayah berkata, ESD Global turut mempelbagaikan portfolio perniagaan dengan memasuki segmen minuman menerusi pengenalan Anggun Singset Koffee pada September lalu.
“Produk kecantikan kita masih ada dan masih berjalan. Kita sudah lengkap dari segi penjagaan luaran, jadi sekarang kita mahu cuba bahagian dalaman pula, iaitu dari aspek kesihatan.
“Produk ini juga diperkenalkan dalam dua pilihan perisa iaitu Latte dan Coklat sebagai langkah awal syarikat menguji penerimaan pasaran sebelum mempertimbangkan pilihan lain,” katanya.
Menurutnya, produk itu mengambil masa lebih setahun untuk dibangunkan menerusi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk mendapatkan pandangan pihak berkaitan serta menjalankan percubaan sebelum dilancarkan.
Sementara itu, beliau berkata, pengeluaran pertama Anggun Singset Koffee membabitkan 50,000 kotak, dengan kira-kira 30,000 kotak telah diambil oleh ejen dan stokis.
Katanya, syarikat menyasarkan pengeluaran kedua sebanyak 100,000 kotak menjelang akhir tahun ini, susulan penerimaan awal yang menggalakkan daripada pasaran.
Mengenai pensijilan halal, beliau berkata, proses berkenaan masih berjalan dengan bantuan pihak kilang yang mengeluarkan produk tersebut.
“Halal sangat penting, terutama untuk minuman. Bila ada halal, pengguna lebih yakin dengan sumber dan bahan yang digunakan,” katanya. – UTUSAN
The post ESD Global perluas rangkaian perniagaan ke pasaran luar appeared first on Utusan Malaysia.






