
KUALA LUMPUR – Kehilangan seorang ayah bukan sekadar kehilangan insan tersayang, tetapi hilangnya tempat bergantung, tempat bermanja dan sosok yang sentiasa menjadi pelindung dalam diam. Saat dia pergi, seolah-olah sebahagian daripada jiwa turut kosong, meninggalkan rindu yang tak pernah mampu diungkap dengan kata-kata.
Satu perkongsian menyentuh hati di platform Threads oleh pengguna dikenali sebagai @rusdinangg baru-baru ini mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran tersebut, dia berkongsi perbandingan ringkas bertajuk “ayah, dulu (2023) vs sekarang (2026)” yang memaparkan gambar kenangan bersama arwah bapanya, sebelum insan tersayang itu pergi buat selama-lamanya.
Dalam kapsyen yang ditulis, dia meluahkan perasaan yang sukar digambarkan:
“Dahlah. Tak boleh sambung post dah tiba-tiba macam kabur mata HAHAHA. Thank you Allah sebab bagi pinjam ayah saya untuk 21 tahun, next meet dekat syurga pulakk yaa dokk ayahh muah muah.”
Sempat Berbakti Hingga Saat Akhir
Lebih menyentuh hati, dia turut berkongsi bahawa sehari sebelum bapanya meninggal dunia, arwah sempat membantu membuat keranda untuk penduduk kampung yang meninggal dunia.
Namun keesokan harinya, takdir Allah menentukan bahawa bapanya pula yang ‘pergi’.
Menurut cerita orang kampung, ketika sedang menyiapkan keranda tersebut, arwah sempat berkata:
“Esok ada lagi ni.”
Kata-kata itu rupa-rupanya menjadi kenyataan yang sangat memilukan.
Perkongsian Undang Simpati Ramai
Perkongsian itu turut membuka ruang kepada netizen lain untuk berkongsi pengalaman kehilangan masing-masing, sekali gus menjadikan ruangan komen dipenuhi kisah-kisah yang menyentuh hati.
Antaranya, ada yang berkongsi bahawa dia juga kehilangan ayah pada tahun 2023 dan meminta izin untuk berkongsi cara yang sama di laman miliknya.
Tidak kurang juga yang menitipkan ucapan takziah dan doa, selain mengakui kisah tersebut mengingatkan mereka kepada pelbagai kenangan dan kehilangan yang pernah dilalui.
Malah, ada yang meluahkan betapa kehilangan seorang ayah ibarat hilangnya seri dalam sebuah rumah, insan yang menjadi tonggak keluarga dan sumber kekuatan pergi meninggalkan luka yang sukar diubati.
Seorang lagi netizen turut berkongsi pengalaman peribadi apabila ayahnya pergi tanpa sempat mengucapkan kata terakhir, menyifatkan perasaan itu seperti “jatuh ke dalam lubang paling gelap”, malah kesedihan tersebut masih dirasai hingga kini.
Namun begitu, dalam suasana penuh emosi itu, pemilik akaun berkenaan mengakui dia tidak mampu membaca semua komen kerana terlalu sebak.
Kasih Ayah Tak Terganti
Perkongsian ini sekali lagi membuktikan bahawa kehilangan seorang ayah bukan sekadar kehilangan ahli keluarga, tetapi hilangnya tempat bergantung, pelindung dan sumber kekuatan dalam sebuah rumah.
Semoga semua yang kehilangan diberikan kekuatan, dan setiap kenangan yang ditinggalkan menjadi penawar rindu yang tidak pernah hilang. – The Malaysian Update
The post “Esok Ada Lagi…” Ayah Pergi Tanpa Pesan, Kisah Tular Ini Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.

