
SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mematahkan cubaan menyeludup 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan 150 liter petrol dalam operasi Op Tiris 4.0 di kawasan jeti Sungai Jipon, Jalan Datuk Tay, di sini, pada Jumaat.
Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos berkata kejayaan operasi itu hasil kerjasama dengan Unit Tindakan Khas (UTK) Markas Taktikal (Martek) Sandakan.
Menurutnya, operasi yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu dilaksanakan susulan maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan barangan kawalan bersubsidi di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 140 plastik hitam disyaki mengandungi minyak masak bersubsidi di daratan serta sebuah bot mencurigakan yang sedang berlabuh di jeti berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki berada berhampiran jeti, manakala tiga lagi berada di atas bot. Ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri.
“Tiga lagi suspek yang berada di atas bot bertindak terjun ke sungai sebelum meloloskan diri ke kawasan bakau berhampiran,” katanya.
Victor berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 2,380 paket minyak masak bersubsidi serta lima tong jerikin berisi 150 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Katanya, suspek yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Sandakan dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM101,508.
Victor berkata Esscom bersama agensi keselamatan lain akan terus memperhebat operasi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi di kawasan pantai timur Sabah bagi memastikan barangan kawalan tidak diseludup keluar tanpa permit atau kelulusan pihak berkuasa.


