KLANG – Kegiatan menyeleweng minyak masak paket bersubsidi dengan memindahkan kandungan ke dalam bekas besar sebelum dijual semula pada harga lebih tinggi terbongkar menerusi serbuan di sebuah premis di sini pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 1 petang itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hasil risikan hampir dua minggu oleh anggota penguat kuasa kementerian berkenaan.
Pengarah KPDN Selangor, Hanif Asa'ari berkata, premis berkenaan dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan pemindahan minyak masak paket bersubsidi ke dalam bekas jenis jerry can.
"Ia dipercayai bertujuan untuk jualan semula dalam pembungkusan botol atau kegunaan industri.
"Pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak memiliki sebarang lesen atau dokumen sah bagi menyimpan dan menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual termasuk minyak masak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, pasukan serbuan turut menemukan sejumlah besar minyak masak paket satu kilogram yang dipercayai dipotong sebelum dipindahkan ke dalam bekas lain.
"Serbuan turut menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia bawah 40 tahun.
"Antara barang yang disita termasuk kira-kira 5,000 kilogram minyak masak, lebih 500 unit jerry can, sebuah tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berisi cecair disyaki minyak masak serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memotong paket minyak masak," katanya.
Menurutnya, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan mencecah RM300,000 manakala nilai sitaan barang kawalan minyak masak dianggarkan sekitar RM25,000.
"Anggaran subsidi yang berjaya diselamatkan dalam serbuan ini pula mencecah RM10,000.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Seksyen 21 akta sama dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.




