Esscom, Perikanan Sabah tangani kegiatan bom ikan

LocalEnvironment
29 Oct 2025 • 3:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bersama Jabatan Perikanan Sabah akan merangka strategi jangka panjang bagi menangani kegiatan pengeboman ikan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).

Komander Esscom Datuk Victor Sanjos berkata isu tersebut mencetuskan ancaman kepada khazanah marin, khususnya terumbu karang yang penting kepada industri pelancongan Sabah.

Beliau berkata beberapa siri perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari pendekatan tuntas untuk menangani kegiatan itu termasuk pelaksanaan operasi bersepadu di kawasan tumpuan aktiviti pengeboman ikan.

“Kegiatan pengeboman ikan bukan sahaja menjejaskan hasil tangkapan laut, malah mengancam khazanah laut termasuk batu karang yang menjadi aset penting kepada sektor pelancongan negara,” katanya semasa kunjungan hormat oleh Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Datin Dr Shuhadah Mustapha.

Victor berkata, Esscom bersama Jabatan Perikanan Sabah juga akan melaksanakan sesi libat urus serta kempen kesedaran bertemakan ‘Katakan Tidak kepada Bom Ikan’ bagi mendidik masyarakat mengenai kesan negatif kegiatan itu.

“Kempen ini turut menekankan supaya orang ramai tidak berurusan dengan penjual ikan yang memperoleh hasil tangkapan melalui aktiviti pengeboman, malah kami bercadang memperluaskan hebahan kempen ini menerusi saluran radio tempatan agar kesedaran lebih meluas,” katanya.

Selain itu, Victor berkata tanggungjawab membasmi kegiatan pengeboman ikan tidak hanya terletak pada bahu agensi penguat kuasa, sebaliknya penglibatan komuniti maritim di Esszone cukup penting dengan melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Beliau juga berkata usaha memelihara ekosistem laut penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat pesisir yang bergantung kepada hasil tangkapan laut, selain memastikan kelestarian sektor pelancongan di Esszone.

Sementara itu, Dr Shuhadah menyuarakan penghargaannya kepada Esscom atas kerjasama kukuhnya dalam menangani kegiatan mengebom ikan di Esszone.

Beliau berkata kegiatan itu harus dihentikan untuk memelihara ekosistem dan khazanah marin yang penting kepada sektor pelancongan.

“Banyak kesan negatif daripada kegiatan ini, termasuk kemusnahan ekosistem laut yang akan menjejaskan pembiakan ikan dan habitat penting bagi sektor perikanan,” katanya.