
LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) merekodkan rampasan bernilai RM1,767,261.90 serta menahan 140 individu hasil daripada 13 operasi yang dijalankan dari Januari hingga September tahun ini.
Komander Esscom, DCP Polis Datuk Victor Sanjos berkata, dengan berakhirnya siri operasi pada 26 September, Esscom berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) lebih awal daripada yang dijadualkan.
Beliau menegaskan bahawa pencapaian itu tidak akan memperlahankan gerak kerja pasukan keselamatan tersebut, sebaliknya Esscom akan terus menjalankan operasi bagi memastikan keselamatan di Esszone sentiasa terjamin, sejajar dengan moto, “Esscom: Tiada Hari Tanpa Operasi.”“Pada masa sama, saya mahu semua maklumat risikan penting dikumpul dan dianalisis bagi memastikan operasi seterusnya memberi tumpuan kepada kawasan panas yang dikenal pasti di semua daerah dalam Esszone.
“Program Gerak Saraf Perang Saraf (GSPS) juga perlu diperkukuh bagi memastikan matlamat program itu benar-benar dirasai oleh masyarakat di seluruh daerah dalam Esszone,” katanya.
Victor berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Esscom di Dewan Pasukan Polis Marin Lahad Datu, Isnin.
Menurut beliau, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Esscom bersiap siaga untuk digerakkan bagi memastikan keselamatan di kawasan pantai timur negeri ini kekal terjamin sepanjang tempoh pilihan raya.
“Esscom akan memastikan tiada sebarang ancaman atau pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menggugat keselamatan di Esszone sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Victor berkata, Esscom juga merancang untuk memperkasakan elemen keselamatan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) kerana teknologi itu dilihat dapat melengkapi kepakaran manusia.
Antara inisiatif yang dirancang termasuk pemasangan kamera jarak jauh di Inderasabah dan Pulau Banggi, menaik taraf Esscom Fusion Centre, perolehan Tactical Floating Barge di Pulau Banggi, Kudat dan Pulau Sebatik serta pemasangan sistem pengurusan sempadan berasaskan gentian optik di Pulau Sebatik.
Dalam ucapannya, Victor turut menyeru semua anggota Esscom supaya terus fokus dan bersedia menghadapi sebarang ancaman dengan kekuatan aset, pengetahuan, kemahiran serta keyakinan diri yang tinggi.
Beliau juga mengingatkan semua anggota supaya meneguhkan sumpah dalam mempertahankan pantai timur Sabah, selain kekal bijak serta berwaspada dalam era digital dengan mengelak penyebaran maklumat palsu dan mengekalkan integriti.



