
SEMPORNA: Sebanyak 74 rumah dan premis serta 1,166 individu diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan Pasukan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) di daerah ini.
Komander Esscom, DCP Victor Sanjos dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, operasi yang dijalankan pada 20 Jun hingga 23 Jun itu yang menumpu kepada pencegahan jenayah di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) termasuk jenayah rentas sempadan bagi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat serta pelancong ke Sabah, selaras dengan moto Esscom iaitu ‘Bersama-sama Menjana Kesejahteraan’.
Katanya, operasi yang turut dilancarkan terhadap pendatang asing tanpa izin (PTI) di daerah ini menyasarkan penempatan dan kawasan yang dikenal pasti telah didominasi PTI.
