
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menahan seramai 35 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan ‘Op Sapu’ pada 14 Jun 2023. Operasi ini dijalankan pada jam 4.45 pagi di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, Selangor.
Seramai 96 orang pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti – Pemerdagangan Manusia serta Pasukan Khas Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Dalam operasi ini seramai 95 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 35 orang PATI yang berumur diantara 21 hingga 52 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki warganegara Myanmar, 13 lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara India, dua lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Yemen.
Kesemua mereka dipercayai bekerja di pasar borong tersebut sebagai pekerja am.
Semasa serbuan dilakukan, pasukan operasi berdepan dengan PATI yang cuba melarikan diri dari kepungan.
Ditambah dengan cuaca hujan pada pagi tersebut dan keadaan gelap menyebabkan ada PATI yang berjaya meloloskan diri. Antara yang diperiksa juga adalah 42 lelaki dan 3 perempuan warganegara Myanmar yang memegang kad UNHCR.

Tindakan penguatkuasaan ini diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI yang bekerja di Pasar Borong tersebut tanpa Pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

The post Imigresen Kepung, Serbu Pasar Borong Selangor appeared first on Siakap Keli.

