
TAWAU: 18 individu tanpa dokumen ditangkap dalam Operasi Bersepadu yang dikoordinasikan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di daerah ini, pada Khamis.
Komander Esscom DCP Datuk Victor Sanjos berkata, seramai 187 orang diperiksa dalam operasi di dua lokasi berasingan – Jeti Awam Tawau dan Kg Kurnia Jaya, Batu 4 – yang membawa kepada penahanan 18 individu itu di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga memeriksa 103 kenderaan dan mengeluarkan 41 saman atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, operasi kali ini melibatkan 151 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
SPONSORED CONTENT Sinyi Group Founder, Chou Chun-Chi, Wins 2024 Asia Pacific Enterprise Award and Expands Sustainable Tourism Ventures in Sabah, Malaysia Kota Kinabalu: The 2024 Asia Pacific Enterprise Awards, hosted by Enterprise Asia, aims to recognize the most outstanding business leaders and organizations in the Asia-Pacific region. Read more Turut terlibat, JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras (KSPB).
Terlibat sama, Jabatan Air Negeri Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Objektif utama operasi ini adalah untuk menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
“Operasi ini juga bertujuan untuk membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PTI),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Di samping itu, katanya, pihak berkuasa terlibat operasi turut menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan lain, khususnya di kawasan pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar sempadan Malaysia - Indonesia.
Mengulas lanjut, beliau berkata Esscom komited dalam mencapai misi tiada lagi pencerobohan kali kedua dan mengekalkan sifar penculikan untuk wang tebusan (KFR).
Katanya, berdasarkan rekod tangkapan serta pemantauan pihak berkuasa mendapati PTI berpotensi dijadikan sebagai tali barut kepada elemen jenayah rentas sempadan di Esszone.
Dalam pada itu, Victor berkata Esscom akan terus memperhebatkan operasi bersepadu di daerah-daerah Esszone bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.
Justeru itu, beliau menyeru masyarakat supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan di Esszone ke Pusat Operasi Esscom pada talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp (011-63311072).
Sebelum ini, Tawau melaksanakan perintah berkurung susulan beberapa jenayah rentas sempadan, khususnya penculikan.
Perintah tersebut dijenamakan semula sebagai Perintah Kawalan Pergerakan bermula 17 Oktober 2023, membataskan aktiviti kepada tiga batu nautika dari sempadan antarabangsa di kawasan termasuk Sandakan, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran dan Kinabatangan.
Aktiviti di laut di kawasan ini mesti dihentikan antara jam 6 petang hingga 6 pagi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
