EU mengaku bantuan berbilion euro tidak cukup bantu Ukraine

WorldPolitics
12 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: EU mengaku bantuan berbilion euro tidak cukup bantu Ukraine

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengaku bantuan bernilai berbilion euro yang disalurkan kepada Ukraine semakin tidak mencukupi ketika peningkatan serangan besar-besaran Russia menjejaskan kewangan negara itu.

Serangan bertali arus Russia menghakis keupayaan pertahanan udara Ukraine dan me­ningkatkan kebergantungannya kepada negara penderma yang turut berdepan kekangan kewangan.

“Perang ini akan berlarutan lebih lama daripada jangkaan kita. EU sedar keperluan akan terus timbul, tetapi masih belum jelas bagaimana perkara ini akan ditangani,” kata seorang diplomat Eropah yang enggan namanya didedahkan.

Landasan kereta api, jamba­tan, kapal kargo, stesen janakuasa, pusat data, gudang, pusat perubatan, sekolah dan tadika menjadi sasaran serangan udara Russia sejak beberapa hari lalu. Malah, Akademi Sains Kebangsaan Ukraine turut dibedil.

Serangan tanpa henti yang menggabungkan peluru berpandu balistik dengan dron berkuasa jet itu mengorbankan puluhan orang awam, termasuk lebih 30 orang di Kramatorsk selepas serangan bom luncur menyebabkan dua bas awam terbakar.

Pada Khamis, Russia menyebabkan Kyiv bergelap, mem­berikan gambaran suram mengenai musim sejuk yang dijangka menjadi paling keras dan kejam sepanjang perang itu.

Sekatan Russia di Laut Hitam menambahkan lagi tekanan, sekali gus menghalang petani Ukraine daripada menjual beribu-ribu tan bijirin kepada pe­langgan di seluruh dunia dan menafikan sumber pendapatan penting kepada negara itu.

Kemerosotan keadaan tersebut menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan dan kemampanan pelbagai program bantuan EU. Ia turut melibatkan pinjaman berjumlah 90 bilion euro (RM412.05 bilion) yang dipersetujui pemimpin EU tahun lalu bagi menampung dua pertiga daripada keperluan Ukraine untuk 2026 dan 2027.

Pinjaman itu dirangka berdasarkan andaian perang akan berakhir pada tahun ini. Namun, peningkatan serangan Russia hampir pasti menyebabkan andaian itu tidak menjadi kenyataan.

Menteri Kewangan Ukraine, Sergii Marchenko memberi ama­ran belanjawan 2027 akan menjadi yang paling rumit sejak pencerobohan besar-besaran Russia bermula. Beliau menggesa negara penderma antarabangsa menampung kekura­ngan dana berjumlah lebih AS$78 bilion (RM357 bilion).

Suruhanjaya Eropah tidak memberikan sokongan terhadap angka utama itu, yang jauh melebihi 45 bilion (RM206 bilion) yang dirancang untuk disalurkan tahun depan menerusi pinjaman bantuan berkenaan. Sebaliknya, suruhanjaya itu berjanji mempercepatkan penyaluran dana, tertakluk kepada pelaksanaan pembaharuan dalaman.

Ketiadaan langsung bantuan Amerika Syarikat (AS), yang sebelum ini merupakan pembekal utama senjata turut memburukkan keadaan. 

Sekumpulan negara EU cuba menghidupkan semula perbincangan mengenai aset Russia yang dibekukan, dengan alasan pinjaman 90 bilion euro (RM412.05) itu tidak akan mencukupi tetapi menerima tenta­ngan Belgium, yang menjadi pemegang utama aset berkenaan.

Pilihan untuk meningkatkan sumbangan secara dua hala yang lebih mudah dilaksanakan berisiko meletakkan beban kewangan pada beberapa negara kaya sahaja, khususnya Jerman, Belanda dan negara-negara Nordik.

 

The post EU mengaku bantuan berbilion euro tidak cukup bantu Ukraine appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved