‘Eurovision macam Olimpik, saya ialah atlet wakil negara’

LocalMusic
9 Oct 2026 • 10:04 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Eurovision macam Olimpik, saya ialah atlet wakil negara’

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal, Aina Abdul menyifatkan pertandingan Eurovision Song Contest Asia yang bakal disertainya bulan hadapan di Bangkok, Thailand ibarat temasya Olimpik buat seorang penyanyi.

Menurut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, pentas Eurovison Asia sangat besar dan dia mahu mengharumkan nama negara di mata dunia sebaik mungkin.

“Sejujurnya pertandingan Eurovision ini Ibarat sukan Olimpik buat penyanyi. Saya ialah atlet yang mewakili negara.

“Saya sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada TV3 kerana memilih saya dalam ramai-ramai penyanyi hebat di negara kita.

“Peluang ini hanya datang sekali seumur hidup. Saya harap saya boleh banggakan negara,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada sidang media Road To Eurovision – First Listen, di sini, semalam. ​

Ditanya tentang persiapan, kata Aina, setakat ini sudah 50 peratus persiapan dilakukan, selebihnya akan dilunaskan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Aina turut mencipta lagu baharu berjudul Bluest Sky yang akan dinyanyikan di pertandingan itu nanti.

Bercerita lanjut tentang lagu tersebut, Aina mengambil masa yang agak lama untuk mencipta dan merakam lagu tersebut.

“Selalunya saya hanya ambil waktu dua jam sahaja untuk rakam lagu. Tetapi untuk lagu ini, dari pagi sampai malam saya di studio. Bukan itu sahaja, lagu ini dirakam di dua studio berlainan iaitu di Kuala Lumpur dan Seremban.

“Cabaran lagu ini adalah untuk menyanyikannya. Perlu emosi yang tepat. Saya memilih lirik dalam bahasa Inggeris kerana mahu lebih ramai yang faham memandangkan ini pertandingan peringkat antarabangsa.

“Tetapi saya tetap selitkan elemen nusantara dalam lagu saya. Ada bunyi seruling yang dimainkan oleh pemuzik handalan bernama Mohram,” kongsinya.

Ditanya sudahkan dia melihat pesaing-pesaingnya dari negara lain, kata Aina dia cuba elak kerana tidak mahu mindanya terganggu.

“Untuk memastikan mental saya siuman, saya tidak menonton persembahan mereka. Saya tak mahu menambah tekanan kepada diri saya dengan memikirkan tentang peserta lain.

“Tetapi saya percaya, setiap negara akan menghantar penyanyi terbaik dari negara mereka. Saya juga mengucapkan selamat maju jaya buat semua peserta yang bertanding. Masing-masing bakal berjuang untuk negara masing-masing,” ujarnya.

Aina bakal berentap di pertandingan Eurovision Song Contest Asia pada 14 November depan di Bangkok, Thailand.

Ini adalah pertama kali Eurovision menganjurkan pertandingan edisi Asia dan membabitkan 11 buah negara antaranya Malaysia, Filipina, Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Bhutan, Cambodia, Bangladesh, Nepal, Laos dan Mongolia. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Eurovision macam Olimpik, saya ialah atlet wakil negara’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved