“Lagu paling mencabar emosi” – Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026

EntertainmentMusic
9 Oct 2026 • 10:34 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 11

Teka-teki mengenai karya yang bakal dipertaruhkan oleh penyanyi versatil dan penulis lagu terkemuka negara, Aina Abdul ke pentas antarabangsa akhirnya terjawab. Selepas diumumkan sebagai wakil rasmi Malaysia menerusi pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) Ogos lalu, Aina tampil memperkenalkan lagu terbaharunya bertajuk ‘Bluest Sky’.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul ini bukan sahaja menandakan fasa baharu dalam perjalanan muziknya bersama TV3, malah menjadi pertaruhan utama negara di Eurovision Asia 2026.

Hadir sebagai sebuah power ballad berskala besar, Bluest Sky mendapat sentuhan susunan muzik eksklusif daripada pengubah tersohor, Mac Chew, dan dibina menerusi ratusan trek instrumen.

Istimewanya, dalam sidang media yang berlangsung baru-baru ini, Aina turut berkongsi satu elemen kejutan yang menambah jiwa tempatan dalam karya antarabangsa ini iaitu pembabitan pemain seruling legenda tanah air, Mohar. Tiupan seruling daripada Mohar menyuntik dimensi audio yang magis, melengkapi kehebatan susunan muzik gubahan Mac Chew.

Di sebalik susunan muziknya yang gah dan sarat, lagu ini membawa mesej tentang kisah cinta, duka, dan ketidakpastian dalam sesebuah hubungan, namun tetap menyuntik harapan bahawa kesedihan tidak akan kekal selamanya.

“Lagu Paling Mencabar Emosi”

Mengulas mengenai pembikinan dan penghayatan karya tersebut, Aina meluahkan rasa bangga sewaktu pertama kali mendengar versi master lagu berkenaan kerana ia berjaya merealisasikan impiannya untuk menghasilkan sebuah power ballad yang besar.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa Bluest Sky merupakan antara lagu paling mencabar yang pernah dirakamkannya.

“Lagu ini antara yang paling mencabar untuk dirakamkan, terutamanya dari sudut emosi. Dalam masa seminit sahaja, saya perlu menyampaikan pelbagai rasa daripada cinta, duka dan keliru sehinggalah rasa penat.

Melalui pendedahan di pentas antarabangsa kelak, saya berharap Bluest Sky dapat memperkenalkan siapa sebenarnya Aina Abdul dan menempatkan muzik kita di persada dunia,” ujar Aina.

Bagi meraikan pelancaran lagu berkenaan, sebuah sesi pendengaran eksklusif telah diadakan pada 8 Oktober 2026 di Rex KL, Petaling Street. Acara yang berkonsepkan suasana di awan itu menghimpunkan rakan media serta peminat terdekat untuk merasai pengalaman audio visual yang intim, selain membuka ruang buat Aina berkongsi kisah di sebalik persiapannya menuju pentas dunia.

Sumber: TV3

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved