

Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik mendedahkan penggunaan EV semakin rancak di Malaysia namun pembangunan infrastruktur pengecasan di lebuhraya masih belum memadai.
Presidennya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, keadaan itu menyebabkan barisan menunggu berlaku di lebuh raya utama.
Ini kerana petak pengecasan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung peningkatan trafik EV, terutama ketika musim cuti.
Krisis Stesen Pengecas EV Lebuh Raya Makin Kritikal
Petak pengecasan di lebuh raya hanya meningkat daripada 104 kepada 126 antara akhir 2024 hingga pertengahan 2026. Dalam tempoh sama, jumlah EV di negara ini meningkat daripada 39,000 kepada 122,286 unit.
"Secara peribadi, saya tidak menghadapi banyak masalah kerana sudah memandu EV hampir 10 tahun dan sentiasa mengikuti perkembangan lokasi pengecas yang kurang sesak.
"Bagaimanapun, ramai pengguna baharu berdepan masalah apabila melakukan perjalanan di luar kawasan bandar, terutama di lebuh raya utama yang jumlah petak pengecasannya masih jauh daripada mencukupi untuk menampung peningkatan trafik EV, khususnya ketika musim cuti," katanya kepada New Straits Times.

