
KUALA LUMPUR – Kemasukan kenderaan elektrik (EV) murah ke pasaran negara ini perlu disertai pembangunan ekosistem lengkap termasuk kemudahan pengecas awam bagi mengelakkan pengguna berdepan masalah pada masa hadapan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan tidak menolak perkembangan teknologi EV, namun kemasukan teknologi baharu itu tidak boleh dibuat secara agresif tanpa mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur negara.
Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang sudah mempunyai ekosistem kukuh selepas dibangunkan sejak sekian lama termasuk pusat servis, alat ganti dan rangkaian stesen minyak.
“Kalau hendak membawa masuk EV murah ke negara ini, dua perkara perlu dipastikan. Pertama, pihak yang membawa masuk kenderaan itu mesti memastikan ekosistemnya wujud bersama.
“Kalau tiada ekosistem dan hanya mahu menjual kereta, ia akan menjadi masalah kepada rakyat yang membeli,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Servis Flagship Autodeutsch Petronas AutoExpert, Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata, kemudahan pengecas awam juga perlu dibina secara meluas kerana tidak semua pengguna EV mempunyai akses untuk mengecas kenderaan di rumah.
Katanya, pengguna yang tinggal di rumah pangsa, flat atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) berkemungkinan berdepan kesukaran kerana kekangan pengurusan bangunan serta kapasiti bekalan elektrik.
“Kalau penduduk flat membeli EV murah tetapi tidak ada pengecas awam, akhirnya mereka akan mengadu kepada kerajaan kerana kemudahan itu tidak disediakan.
“Sebab itu perkara ini perlu diberitahu dari awal supaya rakyat tidak tertekan apabila menggunakan teknologi baharu,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan pembangunan industri automotif berjalan seiring dengan perubahan teknologi tanpa menjejaskan ekosistem sedia ada.
Katanya, industri automotif negara bernilai kira-kira RM80 bilion dan mempunyai rantaian sokongan luas termasuk alat ganti, pusat servis serta produk berkaitan yang menyumbang kepada ekonomi.
“Teknologi sentiasa berubah. Dahulu orang bercakap soal kereta, sekarang mereka bercakap soal teknologi dalam kereta. Kalau teknologi tidak ada, orang tidak akan membeli kereta,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post EV murah tanpa ekosistem bakal beri tekanan kepada rakyat – Johari appeared first on Kosmo Digital.





