Kerajaan pertimbang caj khas setiap jualan EV untuk dana bina pengecas awam - Johari

LocalCars
4 Aug 2026 • 4:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan pertimbang caj khas setiap jualan EV untuk dana bina pengecas awam - Johari Image from: Kerajaan pertimbang caj khas setiap jualan EV untuk dana bina pengecas awam - Johari hamden04/08/2026 - 16:04 Gambar hiasan/ AFP

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kerajaan sedang mempertimbangkan mekanisme untuk mengenakan caj ke atas setiap kenderaan elektrik (EV) yang dijual bagi mewujudkan tabung pembinaan rangkaian pengecas awam di seluruh negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Beliau berkata langkah itu sedang diperhalusi susulan kekangan kerajaan untuk membiayai pembangunan rangkaian pengecas awam secara berskala besar seperti yang dilaksanakan di China.

 

“Mungkin setiap kereta EV yang dijual di sini kita kenakan caj untuk dimasukkan dalam satu tabung bagi membina pengecas awam tanpa mengharapkan penjual kereta ini melakukannya kerana ia tidak berlaku,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Leong Ngah Ngah mengenai kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi peningkatan penggunaan EV pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

 

Menurutnya kerajaan sebelum ini memberikan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) selama empat tahun untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran dan menarik pelaburan.

 

Bagaimanapun katanya kerajaan menanggung kehilangan hasil cukai sebanyak RM3.3 bilion sepanjang tempoh itu manakala pelaburan dalam pembangunan rangkaian pengecas awam tidak berkembang seperti yang diharapkan.

 

“Selepas empat tahun, kita hendak mencari pengecas awam, (namun) tiada pelaburan yang dibuat oleh pemain (EV) ini,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak meneruskan insentif berkenaan, sebaliknya hanya mengekalkan pengecualian cukai lagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Dis 2027 untuk terus menggalakkan pembangunan industri EV domestik.

 

Penyertaan Vendor Tempatan

Menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai langkah kerajaan memastikan pelaburan EV meningkatkan penyertaan vendor tempatan, penggunaan komponen tempatan dan pemindahan teknologi, katanya insentif akan hanya diberikan kepada syarikat yang benar-benar membangunkan ekosistem automotif tempatan.

 

Menurutnya syarikat yang ingin menikmati insentif perlu melibatkan rantaian bekalan tempatan serta menyokong pembangunan vendor dan industri komponen tempatan.

 

“Kalau mereka datang hanya membawa semua komponen dari luar negara, memasang dan menjual kenderaan di sini tetapi mengharapkan insentif, kita tidak boleh buat begitu kerana akan menjejaskan ekosistem automotif yang telah kita bina selama 30 hingga 40 tahun,” katanya.

 

Johari berkata ketika ini Proton dan Perodua telah membangunkan rangkaian kira-kira 733 syarikat vendor Tier 1, Tier 2 dan Tier 3 yang menyumbang antara 72 hingga 82 peratus aktiviti pembuatan komponen automotif negara.

 

Menurutnya kerajaan akan terus mengalu-alukan pelaburan pengeluar EV, namun perlu mewujudkan nilai tambah kepada ekonomi negara melalui pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi serta kewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

 

Mengenai penggunaan EV, Johari berkata pembangunan rangkaian pengecas awam kekal menjadi cabaran utama memandangkan ramai pengguna terutama penghuni pangsapuri dan Program Perumahan Rakyat tidak mempunyai kemudahan untuk memasang pengecas di kediaman masing-masing.

 

Beliau berkata walaupun EV merupakan kenderaan masa depan, rangkaian pengecas awam yang mencukupi amat penting bagi menyokong penggunaannya secara lebih meluas di seluruh negara. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved