Kuala LUMPUR - Usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat kini sedang memasuki fasa akhir.
Mengesahkan perkara itu, Jurucakao Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, operasi evakuasi berkenaan dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Perdana Menteri telah mengarahkan agar semua langkah yang perlu, digerakkan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
“MKN akan menyelaras operasi ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
"MKN bersama KLN juga akan menyalurkan perkembangan operasi ini secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini selesai,” katanya.
Jelas jurucakap itu, kerajaan akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terlibat dapat kembali ke tanah air dengan selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang terkandas agar menghubungi kementerian berkenaan untuk memaklumkan perkembangan terkini penerbangan mereka.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bertujuan memudahkan pengurusan data dan perancangan logistik.
Beliau berkata, segelintir individu gagal menghubungi kementerian atau kedutaan selepas mendapatkan tiket, sekali gus merumitkan usaha pemantauan.
“Pasukan kami, termasuk kakitangan kedutaan, sedang memantau dan menghubungi rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara di Timur Tengah setiap hari untuk mengemas kini maklumat.
“Mereka diminta untuk memaklumkan Wisma Putra sebaik sahaja mereka mendapatkan penerbangan pulang. Ini penting untuk membolehkan kementerian mengekalkan senarai terkini warganegara yang terkandas,” katanya selepas menghadiri acara pengagihan bantuan Ramadan di Taman Kelab Tuanku, Mambau dekat Negeri Sembilan.
Setakat malam tadi, Wisma Putra melaporkan, bilangan rakyat Malaysia yang terkandas di rantau ini telah menurun kepada 641 orang.
Semua yang dihubungi oleh misi diplomatik Malaysia, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat dengan Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), turut disahkan selamat.
Tambahnya, lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang terkandas telah pun pulang ke rumah.
“Terdapat penghantaran pulang setiap hari, tetapi ketersediaan penerbangan masih terhad. Contohnya, Emirates sebelum ini mengendalikan tiga penerbangan harian ke Kuala Lumpur tetapi kini hanya tinggal satu,” katanya.
Mohamad menarik perhatian, keutamaan diberikan kepada rakyat yang terkandas di luar negara dan bukan mereka yang memilih untuk kekal di rantau ini.
“Pelan pemindahan yang diluluskan Kabinet akan diaktifkan seperti yang diperlukan untuk membantu rakyat, termasuk pelajar,” katanya.
Beliau bagaimanapun memberitahu, kerajaan melalui KLN dan MKN akan terus memantau perkembangan di rantau ini setiap hari.
“Kami menjangkakan konflik itu belum berakhir dan mungkin berterusan kerana Iran mempunyai kekuatannya sendiri, sementara Amerika Syarikat berusaha untuk mengubah kepimpinan Iran.
“Sehingga ini berlaku, saya tidak menjangkakan penyelesaian jangka pendek, terutamanya apabila AS terus mengerahkan tentera tambahan ke Teluk,” katanya. - Getaran, 9 Mac 2026


