Rusia Salur Risikan Bantu Iran Serang Aset Ketenteraan AS

WorldPolitics
8 Mar 2026 • 12:40 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Rusia dilaporkan menyalurkan maklumat risikan kepada Iran bagi membantu negara itu menyerang kapal perang, pesawat dan aset ketenteraan milik Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.

Menurut laporan The Washington Post, maklumat tersebut diperoleh daripada sumber rapat perkhidmatan risikan yang mendakwa Kremlin berkongsi butiran mengenai lokasi serta pergerakan aset tentera AS.

Perkembangan itu dilihat sebagai petunjuk awal penglibatan Moscow dalam konflik yang kini memasuki minggu kedua.

Sebahagian besar maklumat yang disalurkan dipercayai datang daripada imejan satelit canggih milik Rusia yang mampu menjejak pergerakan aset ketenteraan secara terperinci.

China Dilapor Pertimbang Beri Sokongan

Dalam pada itu, risikan AS turut mendakwa China berkemungkinan bersedia memberikan bantuan kepada Iran dalam bentuk sokongan kewangan, alat ganti serta komponen peluru berpandu.

Namun menurut sumber tersebut, Beijing dilihat lebih berhati-hati dalam menyalurkan sokongannya.

“China mahu perang ini berakhir kerana konflik tersebut menjejaskan bekalan tenaga mereka.

“Negara itu sangat bergantung kepada minyak Iran dan turut menggesa Tehran memastikan laluan selamat kepada kapal perdagangan di Selat Hormuz,” katanya.

AS Dakwa Terus Pantau Perkembangan

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth enggan mengesahkan secara rasmi laporan berkenaan dan dilihat cuba meredakan kebimbangan mengenai dakwaan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa memantau segala perkembangan berkaitan.

“AS sedang menjejaki segala-galanya dan memastikan maklumat tersebut diambil kira dalam strategi pertempuran semasa. Kami mempunyai perisikan terbaik di dunia,” katanya.

Untuk rekod, Rusia dan Iran dilaporkan telah menjalinkan kerjasama rapat sejak lebih tiga tahun lalu khususnya dalam pembangunan teknologi misil dan dron.

Iran juga dipercayai membekalkan dron Shahed serta misil balistik jarak dekat kepada Rusia untuk digunakan dalam perang di Ukraine. – The Malaysian Update

The post Rusia Salur Risikan Bantu Iran Serang Aset Ketenteraan AS appeared first on The Malaysian Update.