
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata beliau bersedia untuk mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pembayaran semula hasil 40 peratus.
Presiden Upko itu menyatakan demikian Konvensyen Upko Bahagian Penampang, di sini, pada Ahad, susulan solusi yang diluluskan oleh delegasi menggesa permintaan sama.
Keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober mengiktiraf hak perlembagaan Sabah terhadap pemulangan hasil 40 peratus seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ewon berkata beliau akan membentangkan secara rasmi pendirian Upko dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan dengan menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar tidak mencabar keputusan mahkamah itu.
“Jika dalam tempoh 30 hari masih ada rayuan yang difailkan, saya akan menghormati ketetapan parti dengan meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata perkara ini bukan isu politik tetapi soal prinsip dan hak perlembagaan Sabah.
“Saya tidak boleh menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Mahkamah telah mengiktiraf 40 peratus itu sebagai hak perlembagaan Sabah,” katanya.
Ewon berkata Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet sudah dimaklumkan mengenai saranannya melalui platform perbincangan Kabinet memandangkan keputusan terbabit dibuat selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Parti (Upko) turut memuji Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) kerana berjaya mendapatkan keputusan terbabit dan menyeru agar kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Sabah memuktamadkan pelaksanaannya dalam tempoh 180 hari seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.


