
Kota Kinabalu: Bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Datuk Roger Chin (gambar), menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh daripada negeri ini, sebagai detik bersejarah dan titik perubahan penting bagi Sabah.
“Mahkamah Tinggi telah mendukung apa yang telah lama kita perjuangkan — hak perlembagaan kita terhadap 40 peratus hasil Persekutuan. Kemenangan ini milik setiap rakyat Sabah yang tidak pernah berhenti percaya bahawa keadilan akhirnya akan tiba,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat. Tindakan undang-undang itu difailkan ketika beliau masih menerajui SLS.
Chin berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu mempunyai “kepentingan bersejarah” kerana mengesahkan bahawa geran khas 40 peratus untuk Sabah adalah hak perlembagaan, bukannya ihsan yang boleh dirunding.
“Selama separuh abad, hak kita telah dinafikan. Itulah ‘tahun-tahun yang hilang,’ ketika janji yang dibuat semasa kelahiran Malaysia dilupakan. Hari ini, mahkamah telah mengembalikan janji itu dan menegaskan semula kedaulatan undang-undang,” katanya.
Anak kepada bekas hakim amat disegani, Datuk Ian Chin, yang meletak jawatan badan kehakiman selepas berselisih pandangan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Roger berikrar bahawa SLS akan menentang sebarang cubaan untuk merayu atau menjejaskan keputusan itu serta menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghormati dan melaksanakan keputusan mahkamah.
“Walaupun mereka mempunyai hak untuk merayu, berbuat demikian akan menjejaskan keikhlasan, terutama apabila kerajaan-kerajaan terdahulu — termasuk kerajaan sekarang (Pakatan Harapan) — telah berjanji untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 tetapi gagal menyelesaikan isu hak 40 peratus ini,” katanya.
Chin menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu melangkaui isu kewangan kerana ia melambangkan maruah, keadilan dan penghormatan terhadap kedudukan sebenar Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Keputusan ini bukan sekadar angka. Ia bermakna sekolah untuk anak-anak kita, hospital untuk keluarga kita, jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung dan peluang yang setimpal untuk rakyat Sabah,” ujarnya.
Beliau turut mengiktiraf peranan penting Kerajaan Negeri yang secara konsisten mempertahankan hak perlembagaan Sabah.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri memperincikan rekod sejarah kewangan, termasuk perkongsian hasil Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah antara 1964 hingga 1968, amat penting dalam menegaskan bahawa niat dan maksud Perkara 112C serta 112D Perlembagaan Persekutuan kekal tidak berubah.
“Mahkamah mengesahkan bahawa Perintah 1969 tidak memansuhkan atau mengubah formula asal. Mekanisme perlembagaan yang menjamin 40 peratus hasil Sabah kekal utuh,” katanya.
Chin menjelaskan bahawa keputusan mahkamah itu membatalkan beberapa bahagian dalam Perintah Semakan 2022 dan perintah susulannya yang didapati cacat kerana menyiratkan bahawa tahun-tahun tertentu boleh diabaikan.
“Mahkamah memutuskan pengabaian tersebut sebagai tidak sah. Namun, ini tidak menjejaskan pemberian 40 peratus yang sepatutnya diterima Sabah bagi tahun 2022 dan seterusnya,” jelasnya.
Mahkamah turut mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengadakan rundingan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari menggunakan formula 40 peratus seperti dijamin oleh Perlembagaan.
Chin berkata tunggakan bagi tempoh 1974 hingga 2021 diiktiraf sebagai hutang berterusan yang perlu dilunaskan sama ada melalui bayaran langsung atau pampasan perlembagaan.
“Sehingga kewajipan ini disempurnakan, segala kebergantungan kepada Perintah 2022 dan pengganti-penggantinya digantung. Ringkasnya, laluan perlembagaan telah dipulihkan dan hak Sabah kini mesti dilaksanakan secara nyata,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa janji asal Perlembagaan kini mesti ditepati melalui rundingan bermakna antara kedua-dua kerajaan.
“Mahkamah telah memutuskan bahawa Sabah berhak kepada apa yang telah dinafikan selama hampir 50 tahun. Undang-undang jelas — formula mesti dipatuhi dan Sabah akhirnya perlu menerima bahagiannya yang sah,” katanya.
Chin turut menegaskan bahawa keputusan ini tidak seharusnya dilihat sebagai kemenangan terhadap Persekutuan, tetapi sebagai kemenangan untuk Malaysia.
“Ia membuktikan bahawa Malaysia menunaikan janji penubuhannya, bahawa tiada negeri berada di bawah Perlembagaan, dan perpaduan sejati dibina bukan atas pengabaian tetapi atas rasa hormat,” katanya.
“Hari ini, suara Sabah telah didengari. Hari ini, keadilan ditegakkan. Dan hari ini, sejarah merakam bahawa janji yang dibuat pada 1963 kekal ditepati pada 2025,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa keputusan mahkamah ini menamatkan ‘tahun-tahun yang hilang’ Sabah, mengembalikan keadilan serta menebus janji asal pembentukan Malaysia.
“Menunaikan keputusan ini bukan semata-mata tentang Sabah — ia mengenai mengukuhkan Malaysia itu sendiri,” katanya.

