EXCO: 70 peratus projek langkah segera tangani banjir di Selangor siap dibina

LocalEnvironment
28 Oct 2026 • 5:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: 70 peratus projek langkah segera tangani banjir di Selangor siap dibina

KLANG, 28 OKT: Sebanyak 70 peratus daripada 255 projek tebatan banjir (RTB) menerusi langkah segera (quick win) di Selangor sudah siap dibina, membabitkan peruntukan hampir RM70 juta.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata projek yang memberi tumpuan kepada kawasan berisiko banjir kilat itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, baki 30 peratus projek masih dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Sejak tahun lalu sehingga kini, 70 peratus daripadanya telah siap dibina termasuk di sekitar kawasan Klang dan Ampang Jaya.

Image from: EXCO: 70 peratus projek langkah segera tangani banjir di Selangor siap dibina
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim (tengah) ketika melawat ke rumah pam dan projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang pada 28 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Hanya 30 peratus projek 'quick win' itu dalam proses pembinaan ketika ini dan kita yakin akan siap menjelang hujung tahun ini," katanya ketika melakukan lawatan kerja di Taman Sri Kerayong, Kapar di sini, hari ini.

Terdahulu, Izham turut meninjau RTB di Taman Melawis dan Taman Mutiara di sini yang masing-masing melibatkan peruntukan RM18 juta dan RM8 juta.

Menurutnya, kedua-dua projek menunjukkan keberkesanan apabila tiada lagi kejadian banjir dilaporkan di kawasan berkenaan termasuk di Shah Alam, Padang Jawa dan Meru.

Mengulas kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar I-City, Shah Alam, Izham berkata projek langkah segera akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah itu.

Image from: EXCO: 70 peratus projek langkah segera tangani banjir di Selangor siap dibina
Rumah pam dan projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang pada 28 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Antaranya dengan membina 'flap gate' dan pam air bagi menyedut limpahan air ke Sungai Rasah selain peruntukan RM40 juta meliputi pembinaan pintu air di kawasan berkenaan.

“Perkara ini akan dibentang ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Jumaat ini bagi mendapatkan kelulusan segera," katanya.

Pada April lalu, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.74 bilion bagi pelaksanaan 134 projek tebatan banjir di Selangor antara 2021 hingga 2030.

Daripada jumlah itu, RM2.11 bilion disumbangkan Kerajaan Negeri bagi 108 projek, manakala RM3.63 bilion lagi daripada Kerajaan Persekutuan untuk 26 projek.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved