
KEMAMAN – Projek pembinaan Hospital Kemaman di Bandar Baru Kijal di sini yang mengalami kelewatan lebih lapan tahun dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini, projek bernilai RM427 juta yang mula dibina pada November 2017 lalu telah mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 85 peratus.
“Bangunan Hospital Kemaman sedia ada di bandar Chukai, di sini sudah tidak mampu lag menampung kapasiti pesakit yang semakin meningkat. Projek ini mengalami kelewatan berikutan kontraktor terlibat menghadapi beberapa kekangan termasuk masalah teknikal dan kewangan,” katanya selepas merasmikan projek pembangunan bercampur Garden Bay City dan The Walk di Kerteh di sini, hari ini.
Wan Sukairi berkata, hospital baharu berkenaan bakal dilengkapi 300 katil, lapan dewan bedah, unit rawatan rapi, kompleks klinik pakar serta klinik rawatan harian.
Dalam perkembangan berkaitan, projek bersepadu Garden Bay City dan The Walk menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM800 juta meliputi pembinaan 235 unit rumah mampu milik, hab perniagaan moden serta kemudahan perubatan swasta di tapak seluas 17.8 hektar. – KOSMO! ONLINE
The post Hospital Kemaman siap tahun depan appeared first on Kosmo Online.






