
SHAH ALAM, 10 JULAI: Jumlah kumulatif kes demam denggi di Selangor bagi tempoh Januari hingga Julai 2025 menurun 66.1 peratus (26,628 kes) berbanding tempoh sama tahun lalu.
EXCO kesihatan awam berkata sepanjang tempoh itu 13,685 kes dilaporkan berbanding 40,313 kes pada 2024.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, lima kes kematian denggi direkodkan berbanding 12 dalam tempoh sama tahun lalu.
“Penurunan kes hasil komitmen bersepadu antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan program pengawalan dan pencegahan denggi secara menyeluruh di peringkat lokaliti.

“Sejak awal tahun ini, Kerajaan Negeri melaksanakan program Kesedaran Denggi, gotong-royong, operasi denggi bersepadu dan memperkasakan peranan penduduk setempat melalui badan sukarelawan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad yang ingin mengetahui kempen kesedaran dijalankan Kerajaan Selangor bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan penyakit denggi di Sidang Dewan Negeri di sini, hari ini.
Jamaliah berkata, Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha melaksanakan kempen kesedaran awam berkaitan pencegahan denggi dalam kalangan komuniti setempat.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan bilangan kes demam denggi di Selangor terus mencatatkan penurunan dan mencapai matlamat jangka panjang iaitu sifar kes kematian akibat denggi,” ujarnya.
The post EXCO: Kes denggi Selangor turun 66.1 peratus, tindakan bersepadu berkesan appeared first on Selangorkini.

