PONTIAN - [KEMAS KINI] Spekulasi kemungkinan wakil Pakatan Harapan (PH) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan akhirnya terjawab pada Jumaat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengumuman berkenaan sekali gus menamatkan segala dakwaan sebelum ini berhubung kemungkinan wujud wakil PH atau Bersatu dalam barisan Exco negeri.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, dari sudut logik politik, pelantikan wakil PH atau Bersatu sebagai Exco Negeri Sembilan tidak sepatutnya berlaku kerana kedua-dua parti itu merupakan lawan BN ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Apabila senarai sudah dikeluarkan, tamatlah segala tuduhan sebelum ini yang mengatakan ada Exco daripada PH atau Bersatu.
"Dari segi logik politik, perkara itu memang tidak boleh berlaku kerana ketika kita mengadakan pilihan raya, PH adalah lawan dan bukan kawan," katanya ketika program ziarah di Kampung Parit Keroma Laut di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) rasmi mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti.
Barisan Exco penggal baharu ini mencuri tumpuan ramai ekoran pelantikan dua ADUN PN iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa (Adun Serting) yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat).
Pelantikan itu sekali gus mengesahkan pembentukan kerajaan BN-PN buat julung kalinya di Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata Datuk Seri Jalaludin Alias yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang meminta supaya namanya tidak disenaraikan sebagai Exco.
Katanya, kedudukan Jalaludin yang juga Ahli Parlimen serta pengalaman sebagai bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan mungkin membuka peluang untuk dirinya kembali berkhidmat di peringkat Pusat.
"Manalah tahu selepas ini beliau ada rezeki di Pusat kerana beliau bekas Timbalan Menteri.
"Saya cuma menyebut kebarangkalian. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan," katanya.
Menurut Ahmad, perkembangan itu turut melegakan pihak yang sebelum ini bimbang BN akan bekerjasama dengan parti yang menjadi lawan mereka dalam PRN lalu.
"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan tetapi itulah senario yang melegakan pelbagai pihak yang memikirkan bahawa kita akan bersama walaupun kita berperang sebelumnya," katanya.
PRN Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos menyaksikan BN muncul sebagai parti terbesar apabila memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 13 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi, sekali gus menamatkan pentadbiran PH di negeri itu.





