
SUBANG JAYA: Parti-parti politik tempatan di Sarawak dijangka tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, dinamik politik di Sarawak sangat berbeza berbanding negeri-negeri di Semenanjung seperti Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, penolakan itu berpunca daripada kedudukan DAP yang sudah lama menjadi penentang serta musuh politik utama kepada pimpinan tempatan Sarawak.
“Saya tahu lepas PRN Melaka adalah Sarawak. Sarawak juga saya jangka tidak bersama dengan PH sebab DAP adalah musuh politik utama negeri Sarawak.
“Jadi bagaimana mereka nak bersama dengan PH?” kata beliau ketika ditemui semasa sudang akhbar sempena program IJM Alliance Duo Highway Challenge 2026 hari ini.
Menurut Ahmad, situasi Perikatan Nasional (PN) atau parti lain bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri adalah berpunca daripada ketiadaan perjanjian rasmi di peringkat kerajaan negeri, berbeza dengan Perjanjian Kerajaan Perpaduan yang hanya mengikat di peringkat pusat.
Jelasnya, sementara menunggu tempoh penggal Parlimen berakhir secara rasmi, BN akan kekal konsisten mempertahankan kestabilan politik negara sehingga ke tempoh itu atau tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri.
“Negeri tidak ada perjanjian yang ditandatangani. Jadi jangan marah, kita berlawan di negeri tetapi berkawan di Persekutuan.
“Kami memegang janji untuk menyokong Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kejayaan cemerlang BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam, Ahmad berkata perancangan jentera yang disusun oleh War Room BN terbukti amat berkesan.
“Sebelum ini di Johor saya meramalkan 45 kerusi dan kita dapat 48 kerusi. Di Negeri Sembilan pula saya meramalkan 25 kerusi dan jawapannya tepat 25 kerusi.
“Ini adalah hasil kerja keras jentera angkat BN seluruh negara yang berkampung di semua 25 DUN,” katanya. – UTUSAN
The post Sarawak dijangka tolak kerjasama dengan PH appeared first on Utusan Malaysia.






