
KANGAR: Exco kerajaan negeri, Megat Hashirat Hassan meletak jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau berkuatkuasa, semalam.
Peletakan jawatan itu disahkan oleh Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah merangkap Menteri Besar.
Berdasarkan satu surat rasmi bertarikh pada 10 Ogos, Megat memaklumkan bahawa keputusan untuk berundur daripada jawatan itu adalah merupakan langkah paling wajar selepas membuat penilaian keadaan semasa.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan semasa parti dan melalui pertimbangan yang sewajarnya. Setelah menilai keadaan serta hala tuju kepimpinan parti masa ini, saya merasakan keputusan untuk berundur daripada jawatan tersebut merupakan langkah paling wajar,” katanya menerusi surat itu.
Megat berkata, tindakan melepaskan jawatan dibuat atas pertimbangan peribadi dan beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan diberikan oleh pucuk pimpinan selama ini.
“Keputusan ini adalah atas pendirian dan pertimbangan peribadi saya sendiri, tanpa menafikan segala pengalaman, kerjasama dan kepercayaan yang telah diberikan sepanjang saya menjalankan amanah dalam Bersatu Bahagian Arau.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli Bersatu Bahagian Arau atas segala kerjasama yang telah diberikan. Saya berharap keputusan ini dapat diterima dan diambil maklum oleh pihak parti,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Abu Bakar bersama seorang Exco meletak jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), selain pengisytiharan keluar parti oleh Setiausaha Bersatu Perlis merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan.-UTUSAN
The post Exco Perlis letak jawatan AJK Bersatu Bahagian Arau appeared first on Utusan Malaysia.






