SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan geran khas kepada pengusaha taska yang tidak berdaftar bagi galakan kepada pemilik buat pendaftaran di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Memperuntukkan RM400,000, permohonan geran secara atas talian itu dibuka kepada pengusaha taska bermula Disember ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata inisiatif itu julung kali diperkenal Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan semua taska berdaftar sekali gus mematuhi undang-undang.

Katanya, berdasarkan statistik, 128 taska masih tidak berdaftar setakat Julai lalu berbanding 407 pada tahun sebelum ini menerusi proses pemutihan.
“Bagi menggalakkan pendaftaran, kita perkenalkan geran ini kepada pengusaha taska yang ada mengalami beberapa isu berkaitan antaranya kewangan atau kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan.
“Pembayaran geran diberikan mengikut invois semasa atau keperluan taska tetapi maksimum peruntukan setiap taska RM5,000,” katanya selepas merasmikan program advokasi perkhidmatan taska negeri Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, Anfaal ketika berucap menyeru pengusaha taska, berdaftar bagi memperoleh pelbagai manfaat termasuk aspek pengecualian cukai.
“Sebenarnya faedah terlalu banyak terutama jika dilihat daripada aspek kanak-kanak itu sendiri kerana golongan ini merupakan aset negara, generasi penerus dan pengganti kepada kita suatu hari nanti.
“Sebagai pengusaha taska yang berdaftar, antara manfaat diterima adalah aspek pengecualian cukai malah menerima insentif diberikan kerajaan,” katanya.



The post EXCO: Peruntuk geran khas RM400,000, galak pengusaha taska daftar appeared first on Selangorkini.


