EXCO: Pusat Akuatik Darul Ehsan dibuka kepada orang awam Oktober ini

4 Aug 2026 • 11:13 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: Pusat Akuatik Darul Ehsan dibuka kepada orang awam Oktober ini

SHAH ALAM, 4 OGOS: Pusat Akuatik Darul Ehsan dijangka dibuka kepada orang awam bermula Oktober ini, selepas berakhirnya temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026, kata EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata, fasiliti yang bakal dikenali sebagai Akuatik Selangor itu akan melalui fasa persiapan operasi serta pengurusan terlebih dahulu bagi memastikan semua kemudahan berada pada tahap terbaik, selamat dan bersedia menerima kehadiran pengunjung.

“Akuatik Selangor telah sekian lama menjadi pusat pembangunan sukan akuatik negeri, melibatkan program pembangunan bagi acara renang, terjun, renang irama dan polo air.

“Fasiliti ini turut menempatkan atlet di bawah program pembangunan bakat, pelapis dan elit dengan jumlah keseluruhan menghampiri 2,000 atlet.

“Melalui program pembangunan yang tersusun serta kemudahan bertaraf tinggi yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, fasiliti ini telah berjaya melahirkan atlet bertaraf Olimpik dan akan terus menjadi pusat kecemerlangan sukan akuatik di negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam sesi soalan tambahan, Najwan turut memaklumkan Pusat Akuatik Darul Ehsan yang dinaik taraf khusus sempena penganjuran SUKMA bermula 15 Ogos ini dilengkapi kemudahan yang lebih moden berbanding Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

Beliau berkata, fasiliti yang dinaik taraf dengan kos RM40 juta itu disasarkan menjadi venue bagi penganjuran kejohanan renang bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.

“Kerana selepas proses naik taraf standard ataupun piawaian yang telah dilaksanakan di Pusat Akuatik Darul Ehsan telah mencapai standard antarabangsa malah lebih jauh ke depan berbanding Pusat Akuatik Bukit Jalil,” katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved