
SHAH ALAM, 10 OGOS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengenal pasti tanah rintis atau rizab yang masih kosong untuk dimanfaatkan bagi aktiviti pertanian sekali gus mengelakkan kawasan berkenaan terbiar dan dikuasai pihak tidak berkepentingan termasuk warga asing.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata kawasan yang dikenalpasti boleh dipohon untuk pajakan bagi pelaksanaan kebun komuniti, program tanaman bandar atau aktiviti pertanian oleh pihak swasta.
"Kerajaan Negeri telah meminta PBT mengenal pasti tanah rintis dan membuat permohonan pajakan supaya ia boleh digunakan untuk kebun komuniti, program pertanian atau dimanfaatkan pihak swasta yang berminat.
"Ini termasuk PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) dalam melaksanakan program pertanian supaya penggunaannya lebih teratur dan tersusun. Ini antara agenda yang mahu kita perkemaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan wakil rakyat Kota Damansara, Muhamad Izuan Ahmad Kasim mengenai cadangan supaya tanah rintis yang kosong dimanfaatkan bagi mengelakkan kawasan itu dikuasai warga asing, pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Dalam pada itu, Izham menambah, program Pertanian Bandar (Kebun Komuniti) mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan peningkatan daripada 39 projek pada 2024 kepada 66 projek pada tahun lalu.
Malah, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah itu, jumlah pengeluaran hasil program Pertanian Bandar turut meningkat daripada 33,640 kilogram (kg) kepada 49,907 kg.
“Selain itu, lebih daripada 200 kawasan Kebun Komuniti telah diwujudkan di kawasan PBT, sekali gus memperluaskan penyertaan masyarakat dalam aktiviti pertanian bandar,” katanya.
Program Kebun Komuniti di Selangor mula dilaksanakan secara berperingkat menerusi PBT di bawah Pelan Tindakan Local Agenda 21 (LA21) untuk menggalakkan pertanian bandar.
Inisiatif awal peringkat PBT mula dimulakan Subang Jaya pada 2013 sebelum diperluaskan ke PBT lain di seluruh Selangor.

