
SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta mengenal pasti tanah rintis atau rizab yang masih kosong dalam mengoptimumkan pertanian bandar seterusnya mengelakkan dikuasai warga asing.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tanah yang dikenal pasti itu kemudiannya boleh dipohon untuk pajakan sebelum dimanfaatkan menerusi aktiviti pertanian seperti kebun komuniti atau program yang dilaksanakan pihak swasta.
Katanya, langkah berkenaan bukan sahaja membolehkan tanah kosong di kawasan bandar diurus dengan lebih teratur, malah berupaya menjana hasil menerusi pertanian bernilai tinggi.
“Kerajaan negeri telah meminta PBT mengenal pasti tanah-tanah rintis dan membuat permohonan pajakan supaya ia boleh digunakan untuk kebun komuniti, program pertanian atau dimanfaatkan pihak swasta yang berminat.
“Ini termasuk PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) dalam melaksanakan program pertanian supaya penggunaannya lebih teratur dan tersusun,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) mengenai cadangan supaya tanah rintis yang kosong diberikan kepada PKPS bagi membuat program seumpama Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) serta mengelakkan kawasan itu dikuasai warga asing.
Ini kerana difahamkan sebahagian daripada Pasar Borong Selayang mengambil bekalan sayur daripada warga – warga asing yang menjalankan aktiviti pertanian di tanah rintis.
Menurut Izham, beberapa PBT termasuk Petaling Jaya sudah melaksanakan program berkenaan secara berperingkat.
Beliau berkata, kawasan rintis khususnya di Johan Setia, Klang sememangnya mempunyai potensi besar sebagai kawasan pengeluaran sayuran dan boleh terus diperkasakan.
“Ini merupakan agenda kita untuk memperkemas penggunaan tanah di kawasan bandar. Walaupun kawasannya kecil, ia boleh menghasilkan pertanian bernilai tinggi dan perkara ini sudah berjaya kita laksanakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan sehingga RM5,000 bagi setiap projek kebun komuniti melalui pemberian input pertanian seperti baja, benih tanaman, benih ikan serta peralatan pertanian.
“Projek IPR merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan Kementerian Ekonomi kini telah memasuki musim kelima pelaksanaan. Sepanjang tempoh itu, projek ini melibatkan dua pusingan tanaman timun dan dua kali tuaian cili,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post DUN Selangor: Kenal pasti tanah rintis kosong elak dikuasai warga asing appeared first on Kosmo Digital.






