F&N pertimbang naikkan harga produk antara 3% hingga 4% susulan kenaikan kos bahan mentah

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 3:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

F&N pertimbang naikkan harga produk antara 3% hingga 4% susulan kenaikan kos bahan mentah Image from: F&N pertimbang naikkan harga produk antara 3% hingga 4% susulan kenaikan kos bahan mentah hamden06/11/2026 - 15:45

KUALA LUMPUR 6 Nov - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) tidak menolak kemungkinan melaksanakan pelarasan harga secara terpilih antara 3% hingga 4% bagi beberapa portfolio produknya di Malaysia dan Thailand, susulan peningkatan kos komoditi serta bahan mentah.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tarang Gupta berkata, kadar 3% hingga 4% itu merupakan anggaran purata berdasarkan pelarasan harga yang dilaksanakan bagi jenama terpilih di kedua-dua pasaran sepanjang tempoh 12 hingga 15 bulan lalu.

 

Beliau berkata, harga beberapa komoditi termasuk gula, bijih timah dan tenaga menunjukkan trend peningkatan, sekali gus mendorong syarikat menilai kemungkinan pelarasan harga bagi menangani tekanan kos.

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, F&N akan mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengutamakan usaha melindungi jumlah jualan serta kemampuan pengguna, berbanding melaksanakan kenaikan harga secara menyeluruh.

 

Menurutnya, sebarang pelarasan akan dibuat secara terpilih berdasarkan keanjalan harga setiap produk bagi memastikan perubahan harga tidak menjejaskan permintaan secara ketara.

 

Gupta berkata, produk perniagaan-ke-perniagaan (B2B), termasuk susu pekat dalam tin, mempunyai tahap sensitiviti harga lebih tinggi kerana pelanggan bukan sahaja memerlukan konsistensi rasa dan jenama, malah perlu melindungi margin keuntungan masing-masing.

 

Justeru, syarikat mungkin menguji pasaran dan membuat pelarasan harga secara kecil-kecilan sekiranya kos komoditi terus meningkat, dengan mengambil kira keperluan mengekalkan keuntungan mutlak serta pertumbuhan perniagaan.

 

Bagi tahun kewangan 2026, keuntungan bersih F&N merosot kepada RM437.09 juta berbanding RM508.46 juta pada tahun sebelumnya.

 

 

 

 

Hasil kumpulan turut menurun kepada RM4.92 bilion berbanding RM5.19 bilion, terutamanya disebabkan cabaran di Indochina serta kos permulaan lebih tinggi bagi pelaburan strategik kumpulan.

 

Selain kos bahan mentah, pergerakan kadar pertukaran asing turut mempengaruhi kos dan prestasi kewangan F&N.

 

Ringgit yang lebih lemah meningkatkan kos import syarikat, namun pada masa sama memberikan kesan positif terhadap nilai pendapatan yang diterjemahkan daripada operasi di Thailand dan Kemboja.

 

Sehubungan itu, F&N akan terus menilai keadaan kos dan pasaran bagi menentukan keperluan pelarasan harga, sambil mengimbangi kepentingan mengekalkan keuntungan dengan kemampuan pengguna serta daya saing produknya. - BERNAMA 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved