liza06/11/2026 - 15:49 Perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi SAFODA diketuai Pengurus Besarnya, Datuk Bahrul Razha Chuprat, kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) bagi memperkukuh pembangunan ladang hutan di Sabah, khususnya dalam memastikan kesinambungan bekalan bahan mentah untuk industri perkayuan negara.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi SAFODA diketuai Pengurus Besarnya, Datuk Bahrul Razha Chuprat, kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Pertemuan berkenaan menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha membangunkan ladang hutan serta mengenal pasti pendekatan bersesuaian bagi menyokong perkembangan sektor berkenaan.
Noraini berkata pembangunan ladang hutan dilihat sebagai antara aspek penting dalam memastikan bekalan bahan mentah industri perkayuan dapat diteruskan, sekali gus menyokong kelangsungan aktiviti industri berkenaan.
“KPK komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan SAFODA dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan sektor ladang hutan dapat diteruskan dengan sokongan dasar serta penyelarasan yang bersesuaian.
Kerjasama Persekutuan dan negeri
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan agensi berkaitan adalah penting bagi menyokong perkembangan industri perkayuan negara.
“Pendekatan bersepadu itu diharap dapat memastikan pembangunan sektor ladang hutan terus diberi perhatian, selain membuka ruang kepada penghasilan nilai ekonomi yang mampan,” katanya.
SAFODA adalah badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang bertanggungjawab membangunkan sektor perhutanan, khususnya ladang hutan komersial.
Agensi itu memainkan peranan dalam pembangunan ladang hutan bagi memastikan pengeluaran kayu dan hasil hutan dapat dilaksanakan secara terancang serta mampan.
Usaha berkenaan turut menyokong kesinambungan bekalan bahan mentah untuk industri perkayuan, selain menggalakkan pembangunan sektor perhutanan melalui pengurusan dan penanaman semula hutan. - DagangNews.com





