F1 GP Bahrain: Malaysia Bakal Jadi Tuan Rumah Di Litar Sepang - PM 

26 Jul 2026 • 8:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

F1 GP Bahrain: Malaysia Bakal Jadi Tuan Rumah Di Litar Sepang - PM 

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) lewat tahun ini, menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Bahrain.

Berkongsi perkara itu,  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, sebagai persediaan menjelang penganjuran perlumbaan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Putera Salman, Kerajaan Bahrain dan rakyat negara itu atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk menyokong Bahrain, Formula 1 serta Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menganjurkan perlumbaan tersebut.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Salman, Kerajaan Bahrain dan rakyatnya atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia. 

“Kami berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun ini,” katanya.

Menurut Anwar, kerjasama itu bukan sekadar melibatkan penganjuran acara sukan permotoran bertaraf dunia, malah mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh, kepercayaan bersama serta kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain sejak sekian lama.

Katanya, inisiatif berkenaan turut mengukuhkan lagi keyakinan terhadap kemampuan Malaysia sebagai penganjur acara antarabangsa berskala besar.

“Kerjasama ini melangkaui penganjuran sebuah acara sukan bertaraf dunia. 

“Ia mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama dan hubungan erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain, di samping mengesahkan kesediaan serta keupayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa utama,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kini bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1 ke Sepang bersama FIA, pasukan-pasukan yang bertanding serta peminat dari seluruh dunia.

“Kami menantikan peluang untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi serta layanan mesra rakyat Malaysia, sambil terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” katanya. - Getaran, 26 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved