F1 Sepang jana impak ekonomi hampir RM950 juta, Parlimen diberitahu

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

F1 Sepang jana impak ekonomi hampir RM950 juta, Parlimen diberitahu Image from: F1 Sepang jana impak ekonomi hampir RM950 juta, Parlimen diberitahu hamden14/10/2026 - 15:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - Penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026 menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada Malaysia, menurut maklumat  Formula 1 Management (FOM).

 

Kementerian Belia dan Sukan berkata, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu turut menarik kira-kira 261,000 peminat sepanjang hujung minggu perlumbaan, termasuk anggaran 103,000 penonton pada hari perlumbaan.

 

"Dari segi keterlihatan antarabangsa, kejohanan berkenaan disiarkan ke seluruh dunia dan ditonton oleh kira-kira 827 juta penonton, sekali gus meningkatkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan sukan bertaraf dunia," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

 

Jawapan itu bagi menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-BatangSadong) yang bertanya tentang anggaran manfaat ekonomi daripada penganjuran F1 di Sepang berbanding kos yang ditanggung Kerajaan dan adakah penilaian kos-faedah akan dilaksanakan bagi menentukan asas pertimbangan sekiranya Malaysia kembali menganjurkan F1 secara tetap.

 

97,000 tiket dijual

Menjelas lanjut kementerian berkata, berdasarkan data terkini laporan penjualan tiket kejohanan, lebih 97,000 tiket dianggarkan telah dijual, manakala lebih 50,000 pelancong antarabangsa serta kira-kira 5,000 tenaga kerja asing hadir ke Malaysia sempena penganjuran itu.

 

Kehadiran pengunjung dari luar negara turut merancakkan aktiviti ekonomi dalam sektor pelancongan, hospitaliti, penerbangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

 

Penganjuran itu juga dijangka memperkukuh profil Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelaburan antarabangsa, dengan limpahan perbelanjaan pengunjung menyumbang kepada aktiviti perniagaan dalam sektor berkaitan.

 

Model penganjuran kali ini berbeza berbanding pendekatan terdahulu apabila kos hak penganjuran ditanggung oleh Bahrain, sekali gus membolehkan Malaysia menikmati manfaat ekonomi daripada kejohanan berkenaan.

 

Bagaimanapun, penilaian menyeluruh masih diperlukan bagi menentukan manfaat bersih yang diperoleh negara berbanding kos yang ditanggung dalam menjayakan acara itu.

 

Sehubungan itu, kementerian berkata, SIC sedang menjalankan penilaian kos-faedah bersama firma perunding yang dilantik, memandangkan penganjuran Formula 1 berkenaan baru sahaja selesai.

 

Penilaian tersebut akan mengambil kira perincian kos penganjuran serta impak ekonomi yang dijana oleh kejohanan berkenaan.

 

Hasil penilaian itu akan menjadi antara asas pertimbangan kerajaan dalam menentukan kesesuaian Malaysia untuk kembali menganjurkan perlumbaan Formula 1 pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved