Krisis keyakinan hantui Arsenal

6 Dec 2019 • 11:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PENGENDALI sementara Arsenal, Freddie Ljungberg mengakui skuad The Gunners kini mengalami krisis keyakinan setelah tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.

Menurut Ljungberg, beberapa keputusan buruk sebelum ini ternyata memberi impak negatif kepada barisan pemainnya yang gagal meraih kemenangan dalam sembilan perlawanan berturut-turut, sekali gus menjadi prestasi terburuk kelab itu sejak 1977.

Kekalahan itu juga menyaksikan The Gunners yang sebelum ini telah memecat Unai Emery selaku pengurus, menghuni tangga ke-10 liga dan hanya dibezakan lima mata daripada zon penyingkiran.

“Saya melihat para pemain seolah-olah seperti kehilangan keyakinan diri dalam dua perlawanan terakhir. Kepercayaan diri dalam kalangan pemain amat rendah, saya percaya semua dapat melihatnya di padang ketika menentang Brighton.

“Biarpun ada kebangkitan babak kedua tetapi masih banyak perlu dilakukan dalam meningkatkan motivasi pemain. Sudah tentu situasi ini amat mengecewakan tetapi kami harus kembali bersemangat dalam mengharungi baki saingan domestik dan Eropah,” katanya.

Bagaimanapun, Ljungberg yang juga bekas tonggak The Gunners mengakui beliau memerlukan masa untuk meletakkan kembali kelab London itu ke prestasi sebenar mereka.

“Secara jujur, kami kini berada dalam situasi begitu sukar selepas kami kalah dalam beberapa perlawanan yang menyebabkan kepercayaan dalam diri pemain semakin merudum.

“Contohnya, kami memulakan perlawanan menentang Brighton dengan rentak mendatar tanpa semangat untuk menang. Jadi tugas saya untuk membuat mereka agresif dan bermain dengan bertenaga,” ujarnya.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved