Fadhlina lawat NCDRC UPSI, tinjau pelaksanaan pendidikan awal berasaskan penyelidikan

7 Oct 2025 • 7:30 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Fadhlina lawat NCDRC UPSI, tinjau pelaksanaan pendidikan awal berasaskan penyelidikan
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menandatangani buku pelawat NCDRC UPSI. Photo credit: Jamilah Mohd Basir

TANJONG MALIM — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini melawat Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bagi meninjau pelaksanaan dasar dan penyelidikan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

Lawatan itu mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkukuh pendidikan awal berasaskan penyelidikan dan bukti ilmiah di negara ini.

Sempena lawatan berkenaan, Fadhlina turut meninjau TADIKA Bitara NCDRC yang mencatat sejarah sebagai tadika pertama di Malaysia menerima pengiktirafan Associated Schools Network (ASPNet) daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata pengiktirafan itu membuktikan kemampuan UPSI dan NCDRC dalam melaksanakan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) yang mendidik kanak-kanak mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar dan kesedaran global sejak usia awal.

“Fasiliti lengkap TADIKA Bitara UPSI yang disediakan dalam persekitaran pembelajaran kondusif menyokong pelaksanaan aktiviti ESD secara efektif untuk dijadikan rujukan amalan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas lawatan berkenaan.

Ketibaan Fadhlina disambut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff bersama barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Norkhalid Salimin; Pengarah, Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus ;Bendahari, Mohamad Najib Mohamed serta Pengarah NCDRC, Prof Madya Dr Mazlina Che Mustafa.

Fadhlina turut meluangkan masa bersama kanak-kanak dan ibu bapa dalam aktiviti bertemakan “Haiwan Pupus” yang berteraskan ESD selain meninjau kemudahan seperti Children Learning Centre, Kids Kitchen, Edible Garden, Sanative Playroom dan Bilik Snoezelen.

Beliau turut diberi taklimat mengenai National Child Data Centre (NCDC) yang merekodkan lebih 424,000 data kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun serta melibatkan lebih 12,000 TASKA di seluruh negara bagi membantu perancangan dan pemantauan program pendidikan awal.

Selain itu, sistem MySCREEN (Malaysia Psychometric Inventory for Care and Education) yang dibangunkan penyelidik UPSI turut dikongsikan kepada Fadhlina sebagai inisiatif memperkukuh kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr Md Amin menzahirkan penghargaan atas kehadiran Fadhlina serta menegaskan peranan NCDRC sebagai pusat rujukan antarabangsa yang memperkukuh rangka kerja pendidikan negara.

“NCDRC terus memainkan peranan penting sebagai rujukan antarabangsa sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia dalam rangka kerja pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mazlina dalam kenyataannya berkata, pihaknya berharap kerjasama strategik antara KPM dan UPSI dapat terus diperkukuh dalam memperluas latihan profesional guru pendidikan awal, pembangunan modul baharu serta pelaksanaan ESD di peringkat awal kanak-kanak.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.