SPK 2025 Perkasa Penyelidikan dan Inovasi di Peringkat Kebangsaan

Digital
27 Sep 2025 • 3:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: SPK 2025 Perkasa Penyelidikan dan Inovasi di Peringkat Kebangsaan
Dekan FPE UPSI, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor bergambar bersama kakitangannya di bangunan FPE. Photo credit: Noraini Aminuddin

TANJONG MALIM – Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menganjurkan Seminar Penyelidikan Kebangsaan 2025 (SPK 2025) secara hibrid di Bilik Bursa, Blok 10, Kampus Sultan Azlan Shah.

Bertemakan “Memperkasa Penyelidikan dan Pembangunan Melalui Inovasi dan Integrasi Kecerdasan Buatan (AI)”, seminar itu menghimpunkan pembentang artikel dan inovasi dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Dekan FPE, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor berkata tema yang dipilih bertepatan dengan cabaran era Revolusi Industri 4.0, sekali gus menekankan keperluan penggunaan AI dalam penyelidikan.

“AI bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan yang berperanan sebagai pemangkin memperkayakan ilmu, merangsang idea baharu serta memacu penyelidikan berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan seminar itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk HELP University, Maths Proofread, Spectrum International University College dan Global Academic Excellence atas sokongan menjayakan program tersebut.

Seminar itu menampilkan Naib Canselor HELP University, Prof Andy Liew Teik Kooi sebagai penceramah ucaptama, selain perkongsian daripada Naib Canselor Hensard University, Prof Dr Dileep Kumar M.; Pensyarah Kanan UPSI, Dr Muhamad Hariz Muhamad Adnan; dan Pensyarah Kanan London South Bank University, Dr Arsalan Mujahid Ghouri.

Menurut penganjur, SPK 2025 menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama antara ahli akademik, pelajar dan industri melalui pembentangan hasil penyelidikan dalam bidang ekonomi, pengurusan, keusahawanan, perakaunan serta disiplin lain.

Selain itu, ia turut menyokong agenda universiti dalam meningkatkan pencapaian penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA), SETARA dan QS Ranking, serta memberi peluang kepada peserta menerbitkan hasil kajian dalam jurnal berindeks MyCite terbitan FPE.

Pengarah Program SPK 2025, Prof Madya Ts Dr Kesavan Nallaluthan berkata pihaknya sebelum ini mempromosikan seminar itu bersama Prof Andy Liew dalam program RTM bertajuk “AI & SPK2025: Kuasa Baharu Dunia Penyelidikan” yang bersiaran pada 21 Sept lalu.

SPK 2025 turut mengekalkan keunikan dengan membuka penyertaan kepada pelajar pascasiswazah melalui yuran berpatutan selain menawarkan format pembentangan dan pertandingan inovasi yang lebih interaktif.

Sejak dianjurkan beberapa tahun lalu, SPK terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penyelidik muda dan pensyarah IPT, sekali gus diyakini mampu memberi impak positif terhadap perkembangan penyelidikan dan budaya penerbitan ilmiah di UPSI serta peringkat kebangsaan.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.