Fadhlina Sidek Zahir Dukacita Pemergian Murid Tahun Satu Dipercayai Tercekik Makanan

LocalFamily & Parenting
21 Oct 2026 • 7:54 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Fadhlina Sidek Zahir Dukacita Pemergian Murid Tahun Satu Dipercayai Tercekik Makanan

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang murid perempuan Tahun Satu, Damiyah Nur Mikayla, yang meninggal dunia selepas dipercayai tercekik makanan ketika berada di sekolah, semalam.

Allahyarhamah yang berusia tujuh tahun merupakan murid Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sepang.

Menerusi perkongsian di media sosial semalam, Fadhlina turut menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga Allahyarhamah atas kehilangan insan tersayang.

Beliau berkata, kehilangan seorang anak merupakan dugaan yang amat berat untuk ditanggung oleh sesebuah keluarga.

“Saya tidak dapat membayangkan betapa beratnya kehilangan ini buat kedua-dua ibu bapa dan seluruh keluarga.

“Tiada kata yang mampu mengubat kesedihan apabila anakanda yang disayangi pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Susulan kejadian itu, Fadhlina berkata beliau telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor supaya memastikan kebajikan keluarga Allahyarhamah diberikan perhatian sewajarnya.

Menurutnya, JPN Selangor juga diminta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Ingatan dan doa saya bersama keluarga adik Damiyah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, JPN Selangor menerusi satu kenyataan turut merakamkan ucapan takziah dan melahirkan rasa dukacita atas pemergian murid berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Allahyarhamah dilaporkan mengalami kesukaran bernafas dan dipercayai tercekik makanan ketika berada di sekolah.

“Guru guru telah berusaha memberikan bantuan awal sebelum murid dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan, namun murid berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital tersebut,” menurut kenyataan itu.

Baca juga:

JPN Selangor memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Pada masa sama, kebajikan keluarga Allahyarhamah serta kesejahteraan warga sekolah yang terkesan turut menjadi keutamaan, termasuk penyediaan bantuan dan sokongan psikososial mengikut keperluan.

Orang ramai turut diminta supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu.

JPN Selangor juga mengingatkan semua pihak supaya menghormati privasi keluarga Allahyarhamah dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved